Kertas siasatan peniaga dipukul individu didakwa kerabat diraja dihantar ke Jabatan Peguam Negara

KUANTAN – Kertas siasatan kes melibatkan seorang peniaga yang mendakwa ditikam individu mempunyai kaitan dengan kerabat diraja di sebuah premis hiburan di sini, awal Mei lalu, sudah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada minggu lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya kini menunggu arahan lanjut daripada jabatan berkenaan.
Menurutnya, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.
“Kita hantar kertas siasatan ke pihak AGC, namun ia dipulangkan semula untuk kita lengkapkan siasatan.
“Sekarang kita telah melengkapkan siasatan dan telah serahkan semula kepada pihak AGC pada 23 Jun lalu. Jadi kita sedang menunggu keputusan lanjut,” katanya.
Majlis itu turut menyaksikan penyerahan tugas daripada Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu kepada Superintenden Mohd Adli Mat Daud sebagai pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan disaksikan Yahaya.
Wan Mohd Zahari sebelum ini dilantik sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Negeri Perak dengan pangkat Senior Asisten Komisioner.
Wan Rohani Wan Ishak selaku Pengerusi Perkep Daerah Kuantan telah menyerahkan tugasnya kepada Zarina Omar @Yusof sambil disaksikan oleh Pengerusi Perkep Kontinjen Pahang, Datin Seri Sumarnie Haris.
Dalam majlis sama, Deputi Superintenden Seah Boon Kok sebagai Pemangku Ketua Jabatan Jenayah Komersial Pahang telah menyerahkan tugasnya kepada Superintenden Wan Aeidil Wan Wan Abdullah.
Yahaya berkata, setakat ini polis telah merakam keterangan seramai 13 individu termasuk mangsa dan saksi kejadian.
“Kita ada lebih kurang 13 orang telah diambil keterangan dan selain itu kita ada buat juga pengecaman oleh mangsa serta lain-lain yang diarahkan pihak pendakwa raya,” katanya.
Beliau memaklumkan tiada sebarang rampasan dibuat sepanjang siasatan dijalankan.
“Siasatan secara keseluruhan tiada sebarang masalah, kita hanya menunggu arahan selanjutnya,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 30 tahun pada 5 Jun lalu.
Dalam kejadian awal pagi 8 Mei lalu, seorang kerabat diraja Pahang dikatakan menikam lelaki itu dengan sebilah pisau lipat di sebuah kelab malam di sini sehingga mangsa mengalami kecederaan teruk.
Kejadian itu dipercayai berpunca apabila mangsa didakwa melanggar suspek sebanyak dua kali di pusat hiburan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

