Hospital Pasir Gudang beroperasi secara berfasa mulai 1 Ogos - Dr Dzulkefly

Hospital Pasir Gudang akan beroperasi secara berfasa bermula 1 Ogos 2024 dan dijangka berfungsi sepenuhnya menjelang Julai 2026 dengan 1,845 petugas. Foto Bernama
Hospital Pasir Gudang akan beroperasi secara berfasa bermula 1 Ogos 2024 dan dijangka berfungsi sepenuhnya menjelang Julai 2026 dengan 1,845 petugas. Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Hospital Pasir Gudang (HPG) yang diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Ahad, akan mula beroperasi secara berfasa bermula 1 Ogos ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, fasa awal operasi akan melibatkan 30 peratus perkhidmatan mustahak seperti Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E), Obstetrik dan Ginekologi, serta Jabatan Pediatrik.

“Setakat ini, sebanyak 274 perjawatan telah diisi, dan kita mengharapkan hospital ini dapat beroperasi sepenuhnya melibatkan 1,845 petugas menjelang Julai 2026,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Siap HPG di sini pada Ahad.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Roslan Ismail.

Dr Dzulkefly berkata, dengan kapasiti melebihi 300 katil, HPG bakal mengurangkan tekanan yang ditanggung dua hospital utama di Johor Bahru, iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI), khususnya dalam pengurusan kes kecemasan dan pesakit stabil.

Menurutnya, pembukaan hospital ini amat signifikan dengan pertambahan penduduk Johor yang dijangka mencecah 3.90 juta menjelang 2025, berbanding 3.35 juta pada tahun 2010, dengan kadar pertumbuhan dua peratus setahun, khususnya di Johor Bahru.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Dzulkefly berkata, HPG merupakan hospital pertama yang menyediakan kira-kira 20 bilik on call untuk doktor pakar, sebagai usaha menjaga kebajikan serta keselesaan petugas kesihatan.

Beliau turut memaklumkan bahawa sepanjang tempoh pembinaannya, HPG direkodkan sebagai antara projek kerajaan yang berprestasi cemerlang, tidak tersenarai sebagai projek Lewat Jadual atau Sakit, malah sentiasa mendahului jadual asal meskipun berdepan cabaran sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“HPG juga dijadikan contoh terbaik perancangan rapi dan pelaksanaan bersepadu yang berjaya menterjemahkan harapan rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, dengan kewujudan HPG, bilangan hospital pakar di Johor kini meningkat kepada lapan dan dijangka dapat mengurangkan kadar penggunaan katil (BOR) di HSA sebanyak lima hingga 10 peratus dalam tempoh dua tahun, dengan memindahkan pesakit stabil ke HPG.

“Dengan operasi penuh HPG, masa menunggu bagi Perkhidmatan Pembedahan Elektif di HSA dijangka dapat dikurangkan sebanyak 30 peratus dalam tempoh dua tahun pertama,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!