Jejambat Meridin East dibuka hujung tahun, selesai isu trafik di Pasir Gudang

Pembukaan jejambat Meridin East akan mempercepatkan pergerakan ke kawasan perindustrian Tanjung Langsat dan mengurangkan kesesakan di sekitar Pasir Gudang.- FOTO: FB ONN HAFIZ
Pembukaan jejambat Meridin East akan mempercepatkan pergerakan ke kawasan perindustrian Tanjung Langsat dan mengurangkan kesesakan di sekitar Pasir Gudang.- FOTO: FB ONN HAFIZ
A
A
A

PASIR GUDANG - Projek jejambat Meridin East yang terbengkalai sejak tahun 2021, akhirnya menemui penyelesaian selepas perbincangan dilakukan di peringkat persekutuan dan negeri.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perbincangan melibatkan Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Senai-Desaru Expressway Berhad (SDE) dan Meridin East Sdn Bhd (MESB).

Menurutnya, keputusan muktamad telah dicapai bagi memastikan jejambat terbabit dapat disiapkan dan digunakan demi keselesaan penduduk setempat.

"Pembinaan gantri kutipan tol Cahaya Masai yang dijangka menelan kos RM7 juta akan membuka akses dua hala ke Lebuhraya Senai-Desaru (SDE).

"Langkah ini akan mengurangkan kesesakan trafik di Pasir Gudang dan memudahkan perjalanan pengguna lebuh raya," katanya dalam muat naik di Facebook pada Rabu.

Jelasnya, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan dalam tempoh terdekat dan dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri menyatakan komitmen untuk memastikan projek tersebut disiapkan mengikut garis masa yang ditetapkan agar manfaatnya dapat dinikmati rakyat secepat mungkin.

"Dengan pembukaan plaza tol baharu, laluan trafik dari Kong Kong ke Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) akan lebih lancar, sekali gus mengurangkan perjalanan ke Pasir Gudang dan Tanjung Langsat kepada hanya tujuh kilometer.

"Penduduk setempat menyambut baik penyelesaian ini selepas lebih tiga tahun menunggu projek tersebut disiapkan. Mereka berharap akses ini akan mempercepatkan pergerakan ke kawasan perindustrian Tanjung Langsat dan mengurangkan kesesakan di sekitar Pasir Gudang," ulasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!