Pensyarah hilang ketika menyelam ditemui selamat

Eliza selamat ditemukan selamat selepas dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti menyelam di Pulau Chebeh, Pulau Tioman. Foto IPD Rompin
Eliza selamat ditemukan selamat selepas dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti menyelam di Pulau Chebeh, Pulau Tioman. Foto IPD Rompin
A
A
A

ROMPIN – Seorang pensyarah  Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti menyelam di Pulau Chebeh, Pulau Tioman pada Sabtu ditemui selamat hari ini.

Mangsa, Eliza M. Yusup, 44, ditemukan kira-kira jam 8.45 pagi oleh orang awam yang sedang melakukan aktiviti snorkeling di Pulau Tulai, kira-kira 1.4 kilometer dari lokasi dia menyelam.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa memaklumkan kepada orang awam bahawa dia dihanyutkan arus dan berenang ke Pulau Tulai sebelum tiba di situ pada jam 11.30 malam.

“Mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan akan dibawa ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek bagi mendapatkan rawatan.

“Keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai keadaannya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Eliza bersama seorang instruktor selepas ditemukan selamat. Foto IPD Rompin
Eliza bersama seorang instruktor selepas ditemukan selamat. Foto IPD Rompin

Sebelum itu, Sharif Shai memberitahu mangsa dilaporkan hilang pada jam 12.30 tengah hari pada Sabtu, selepas menyelam seorang diri.

Menurutnya, pada awalnya, mangsa menyelam bersama sembilan penyelam lain dan seorang instruktor di perairan Pulau Chebeh sekitar jam 11 pagi.

Artikel Berkaitan:

“Selesai sesi pada jam 11.45 pagi, semua penyelam naik ke permukaan untuk pulang ke bot, namun mangsa memaklumkan kepada instruktor bahawa dia mahu menyambung menyelam seorang diri.

“Apabila mangsa masih tidak timbul pada jam 12.30 tengah hari, instruktor turun semula untuk mencarinya namun gagal menemui mangsa dan kemudian pulang ke Kampung Salang untuk meminta bantuan,” katanya.

Beliau  berkata, usaha mencari dan menyelamat segera dilancarkan dengan kerjasama orang awam, polis dan bomba Pulau Tioman menggunakan beberapa bot awam.

“Operasi mencari pada Sabtu terpaksa dihentikan pada jam 6.30 petang akibat hujan lebat dan ribut kuat, namun disambung semula hari ini dengan bantuan Pasukan Polis Marin Tanjung Gemok,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!