Petrol catat rampasan tertinggi kes penyelewengan enam minggu pertama tahun Ini

Aswadi (kanan) dan Chin Huei (kiri) melihat halia yang dijual di pasar raya berkenaan.
Aswadi (kanan) dan Chin Huei (kiri) melihat halia yang dijual di pasar raya berkenaan.
A
A
A

TUMPAT – Sebanyak 140 kes penyelewengan barangan kawalan direkodkan di Kelantan dengan nilai rampasan melebihi RM439,000 termasuk petrol paling tinggi, hanya dalam tempoh enam minggu pertama tahun ini.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, petrol muncul sebagai barangan paling banyak dirampas dengan jumlah 9,804 liter (RM25,000), diikuti tepung sembilan tan (RM22,000) dan minyak masak paket 8.5 tan (RM19,800).

“Modus operandi yang dikesan antaranya memindahkan petrol ke dalam bekas simpanan sebelum diedarkan kepada pihak yang tidak dibenarkan.

“Selain itu, kami turut merampas gula 4.9 tan, diesel 1,500 liter dan gas memasak 381 kilogram dalam beberapa operasi bersepadu hasil risikan berterusan terutama di daerah sempadan dan laluan utama negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 di Pasar Raya Supermas di sini pada Ahad.

Turut hadir, Pengurus Operasi Kumpulan Econ Jaya dan Supermas, Goh Chin Huei.

Aswadi (tengah) memantau harga sayur-sayuran yang dijual di pasar raya berkenaan.
Aswadi (tengah) memantau harga sayur-sayuran yang dijual di pasar raya berkenaan.

Menurut Aswadi, sebanyak 32 tangkapan turut dibuat sepanjang tempoh berkenaan selain 46 kenderaan disita dengan nilai rampasan dianggarkan RM204,600.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga membuka 96 kertas siasatan dan merekodkan 52 kes kompaun dengan nilai RM78,400,” ujarnya.

Dalam perkembangan SHMMP di negeri itu, Aswadi berkata, pelaksanaan bermula Jumaat lalu setakat ini berjalan lancar tanpa aduan atau sebarang kesalahan dikesan.

Menurutnya, hasil pemantauan dua hari pertama mendapati terdapat peniaga menjual beberapa barangan kawalan pada harga lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan kerajaan.

“Kami dapati ada item seperti lobak merah di sesetengah pasar raya dijual lebih murah dan ini satu perkembangan baik.

“Skim ini menetapkan harga maksimum, jadi peniaga tidak boleh menjual melebihi harga ditetapkan, tetapi jika mereka menjual lebih rendah, itu adalah inisiatif sendiri selain memberi manfaat kepada pengguna,” katanya.

Mengulas lanjut, Aswadi berkata, penguatkuasaan dijalankan secara agresif dengan kekuatan 140 pegawai penguat kuasa dibantu 84 pegawai pemantau harga.

Katanya, pemantauan melibatkan lebih 1,000 premis perniagaan termasuk pasar raya, pemborong, peruncit serta pasar awam di seluruh Kelantan.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap barangan kawalan kerana tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Ringkasan AI

  • Terdapat 140 kes penyelewengan barangan kawalan di Kelantan dengan nilai rampasan lebih RM439,000
  • Petrol adalah barangan paling banyak dirampas, diikuti tepung dan minyak masak peket
  • Modus operandi melibatkan pemindahan petrol ke dalam bekas simpanan sebelum diedarkan
  • Sebanyak 32 tangkapan dibuat dan 46 kenderaan disita
  • Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan berjalan lancar tanpa ada aduan atau kesalahan dikesan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!