Warga emas hilang ketika cari durian ditemui selamat

Mangsa dilaporkan hilang ketika masuk ke dusun durian di kawasan bukit Changkat Sungai Ara 2, Bayan Lepas dan operasi pencarian telah dijalankan oleh bomba bersama polis serta APM
Mangsa dilaporkan hilang ketika masuk ke dusun durian di kawasan bukit Changkat Sungai Ara 2, Bayan Lepas dan operasi pencarian telah dijalankan oleh bomba bersama polis serta APM
A
A
A

BAYAN LEPAS – Seorang warga emas yang dilaporkan hilang selepas memasuki dusun durian di kawasan bukit Changkat Sungai Ara 2 di sini pada petang Ahad ditemui dalam keadaan selamat.

Mangsa, Daud, 65, dilaporkan turun sendiri dari kawasan bukit dan tiba di kaki bukit berhampiran Flat Sri Merpati sebelum ditemui orang awam di sebuah pondok pengawal perumahan kira-kira jam 12 tengah malam, Isnin.

Menurut sumber, selepas ditemui, mangsa telah dibawa ke Balai Polis Bayan Lepas untuk memberi keterangan berhubung kejadian.

“Selepas selesai urusan di balai, mangsa dibenarkan pulang ke rumah.

“Perjalanan dari lokasi mangsa dilaporkan hilang ke kawasan perumahan tersebut dianggarkan mengambil masa antara dua hingga tiga jam sekiranya melalui laluan bukit,” katanya pada Isnin.

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang kira-kira jam 6.04 petang selepas gagal dihubungi oleh ahli keluarganya yang kemudian memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan daripada pihak polis berhubung kejadian itu, sebelum bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Operasi pencarian dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di kawasan mangsa dipercayai hilang.

Pencarian diteruskan sehingga jam 8 malam namun operasi terpaksa dihentikan sementara kerana keadaan gelap.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!