Empangan Sabo Sungai Kupang dijangka siap lebih awal

BALING - Projek pembinaan Empangan Sabo di lembangan Sungai Kupang dijangka siap lebih awal daripada tarikh asal berikutan prestasi kerja yang jauh mendahului jadual.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sehingga Sabtu, projek bernilai RM22.8 juta itu telah mencapai 62 peratus kemajuan fizikal, berbanding 20 peratus mengikut jadual asal.
Menurutnya, tarikh siap Empangan Sabo pada asalnya dijangkakan pada 10 Disember 2026, namun sekiranya prestasi tersebut berterusan, ia dijangka dapat disiapkan kemungkinan dalam sebulan dua lagi.
“Empangan ini akan menahan aliran sisa pokok, bongkah batu dan lumpur dari hulu sungai serta mengurangkan impak kepala air. Ia terbukti berkesan seperti dilaksanakan di Gunung Jerai sebelum ini,” katanya selepas meninjau tapak projek berkenaan di Kampung Iboi, Kupang pada Sabtu.
Saifuddin Nasution yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah berkata, empangan tersebut turut dilengkapi sistem telemetri yang akan memberi amaran awal banjir kepala air bagi mengurangkan risiko bencana.

Projek tersebut dilaksanakan susulan tragedi banjir puing yang berlaku pada 4 Julai 2022, mengorbankan tiga nyawa selain menjejaskan banyak kawasan di Baling dengan kerugian tinggi.
Beliau turut memaklumkan, projek pembinaan 17 unit rumah ganti kepada mangsa banjir puing di Kampung Iboi kini telah mencapai 95 peratus kemajuan fizikal dan dijangka siap sepenuhnya akhir Julai ini.
“Projek rumah ganti ini dibiayai Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan RM3 juta, manakala penyediaan tapak oleh kerajaan negeri dengan kos RM600,000.
“Rumah ini lengkap dengan kemudahan asas, dibina di kawasan lebih selamat dan boleh diduduki sebaik sahaja sambungan elektrik selesai, dijangka minggu ketiga Julai,” katanya.
Jelas beliau, kejayaan projek rumah ganti itu adalah cerminan kepada pelaksanaan konsep Malaysia Madani yang menekankan aspek kebajikan dan keselamatan rakyat secara menyeluruh.
Saifuddin Nasution berkata, dalam usaha menangani isu banjir berulang di Baling, dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) turut dilaksanakan di kawasan itu.
“Menurut data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sebanyak 17 kejadian banjir direkodkan di Baling sepanjang tahun lalu, meningkat berbanding hanya 10 kejadian pada 2023.
“RTB Fasa Satu melibatkan kerja menaik taraf Sungai Kupang dan pembinaan ban dengan nilai projek RM9.66 juta. Projek ini kini berada pada tahap 12 peratus dan dijangka siap pada 6 November 2026.
“Sementara, RTB Fasa Dua bernilai RM118.1 juta dijangka siap pada 31 Januari 2029 dan kini pada peringkat awal pelaksanaan dengan kemajuan 3.68 peratus,” katanya.
Menurutnya lagi, kedua-dua projek itu dijangka memberi manfaat kepada 5,000 penduduk sekitar Pekan Baling, khususnya dalam mengurangkan risiko kerosakan harta benda dan keselamatan nyawa.
Beliau tegaskan, pemantauan rapi akan diteruskan bagi memastikan semua projek siap mengikut jadual ditetapkan.
“Kalau perlu, saya akan datang semula tahun depan untuk pastikan projek ini tidak terhenti di tengah jalan.
"Kita mahu rakyat Baling hidup lebih selamat dan sejahtera,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

