Cuaca panas: Pekerja penyelenggaraan mula waktu kerja lebih awal

PENDANG - Cuaca panas sehingga mencecah suhu 33 darjah Celsius di daerah ini memberi kesan kepada pekerja penyelenggaraan yang bertugas di Jalan Bukit Jenun-Pendang.
Kontraktor, Izham Ahmad, 31, berkata, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa mengubah jadual dengan meminta pekerja memulakan kerja lebih awal sekitar jam 7 pagi berbanding 8 pagi sebelum ini bagi mengurangkan tempoh berada lebih lama di bawah panas.
Menurutnya, dia juga terpaksa menambah pekerja warga asing yang bukan beragama Islam bagi memastikan kerja berjalan mengikut jadual ditetapkan biarpun memasuki bulan Ramadan.
“Akibat cuaca panas, saya perlu menambah bekalan minuman berbanding sebelum ini untuk menghilangkan dahaga mereka yang bekerja di tengah panas,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pendang, Mohd Arizal Mahmud berkata, disebabkan cuaca panas, pihaknya lebih menumpukan kepada pengisian dalaman seperti meningkatkan kemahiran penggunaan alatan kepada setiap anggota.
“Kita akan tingkat kemahiran dan penguasaan peralatan kebakaran serta kurangkan aktiviti kawad untuk mengekalkan stamina lebih-lebih lagi padabulan puasa.
“Kami bernasib baik memandangkan tiada kes kebakaran serius dilaporkan berlaku di Pendang sejak beberapa hari ini,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

