Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang: Projek Pakej 2 dijangka siap 2026

GEORGE TOWN - Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam yang menelan belanja RM851.04 juta dijangka siap sepenuhnya pada 2026.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, ia bakal mengurangkan masa perjalanan dari Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu daripada 40 minit kepada hanya 10 minit.
Menurutnya, sehingga 28 Februari lalu, projek itu kini sudah mencapai 73 peratus siap iaitu lebih awal daripada jadual asal.
"Pencapaian itu membuktikan keberkesanan pelaksanaan projek serta koordinasi yang baik antara pihak berkepentingan," katanya ketika membuat lawatan tapak di Gelugor pada malam Isnin.
Lawatan tersebut turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Datuk Seri Farizan Darus.
Zairil menambah, kerja-kerja pemasangan rasuk gergasi sedang giat dijalankan di Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor yang merupakan fasa penting dalam pembinaan jalan bertingkat.
“Kita sedang memasang beberapa rasuk terpanjang di lokasi ini dengan setiap satu seberat 140 tan.
"Sebanyak enam rasuk akan dipasang di bahagian ini dengan tiga menyokong setiap sisi jalan,” katanya lagi.

Ujarnya, pemasangan rasuk yang sama turut dijadualkan di beberapa lokasi utama lain termasuk Jalan Bukit Gambir.
Beliau juga memberi jaminan bahawa aspek keselamatan akan terus menjadi keutamaan walaupun projek berjalan lebih awal daripada jadual asal.
“Walaupun kemajuan projek ini mendahului jadual, saya mahu kontraktor memastikan keselamatan orang awam diutamakan.
"Setakat ini, saya berpuas hati dengan kemajuan kerja,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa penduduk di kawasan terjejas supaya sentiasa mengikuti perkembangan semasa berkaitan penutupan jalan dan laluan alternatif melalui media sosial serta portal berita.
Sementara itu, pengarah projek, Asward Indra Firhad berkata, selepas kerja pemasangan rasuk selesai, kerja-kerja pemasangan jaring keselamatan dan papak dek akan dijalankan.
“Kerja-kerja ini penting untuk menyokong struktur dan mencegah bahaya serpihan sekali gus memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Projek ini dilaksanakan oleh Consortium Zenith Construction (CZC) dengan kendalian Penang Infrastructure Corporation (PIC) melibatkan pembinaan tiga persimpangan bertingkat iaitu di Lebuhraya Thean Teik, Jalan Bukit Gambir-Jalan Sultan Azlan Shah serta Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang merangkumi persimpangan masuk-keluar kiri dan pusingan U bertingkat.
Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam merupakan salah satu projek di bawah Komponen Jalan-Jalan Utama dan Laluan Ketiga (PMRT) dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang telah bermula sejak tahun 2021 bagi Seksyen 1 dan tahun 2022 bagi Seksyen 2 hingga Seksyen 6.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

