Rasuah semakin membarah, jejas ekonomi dan kesejahteraan rakyat

Sejarah membuktikan rasuah merupakan salah satu punca utama kejatuhan sesebuah tamadun. (Gambar kecil: Dr Hamdan Daniel M Sharib)
Sejarah membuktikan rasuah merupakan salah satu punca utama kejatuhan sesebuah tamadun. (Gambar kecil: Dr Hamdan Daniel M Sharib)
A
A
A

SHAH ALAM – Gejala rasuah yang semakin membarah dalam kalangan masyarakat kini dianggap sebagai ancaman serius terhadap kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M. Sharib berkata, ia bukan lagi melibatkan individu biasa, malah pegawai tinggi yang berada dalam kedudukan selesa juga turut terbabit.

Menurutnya, situasi itu boleh disifatkan sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada negara dan rakyat.

“Rasuah semakin hari semakin membengkak dalam masyarakat, termasuk individu berjawatan tinggi.

"Jika perkara ini berterusan, ia bukan sahaja mengancam kestabilan ekonomi, malah menggugat kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

"Perbuatan rasuah bukan sekadar kesalahan undang-undang, tetapi juga tidak boleh dimaafkan apatah lagi dilakukan oleh individu yang mempunyai kuasa dan pengaruh dalam jabatan masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, seorang pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) sebuah negeri yang dipercayai terlibat kes rasuah membabitkan kontrak bernilai ratusan ribu ringgit akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pengarah dan beberapa pegawainya disyaki menerima wang rasuah daripada kontraktor berhubung dengan projek penyelenggaraan.

Tambah Hamdan Daniel, salah laku rasuah sudah pasti akan memberikan kesan buruk yang mendalam, mencemarkan imej penjawat awam serta menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap mutu perkhidmatan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Usaha memerangi rasuah telah lama dijalankan, namun masih wujud individu yang sanggup menggadaikan maruah diri dan institusi demi kepentingan peribadi.

"Ini bukan sahaja merosakkan masa depan mereka, tetapi turut mencemarkan nama baik jabatan serta institusi keluarga,” katanya.

Beliau turut berpendapat, hukuman tegas harus dikenakan kepada pesalah rasuah bagi memberi pengajaran bahawa tiada sesiapa pun akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Perbuatan rasuah membawa kehinaan bukan sahaja di dunia, bahkan di akhirat. Ia harus dielakkan setiap masa. Jika terus dibiarkan, ia akan menghancurkan keseluruhan ekosistem ekonomi negara.

"Oleh itu, saya berharap semua pihak khususnya penjawat awam dan pemimpin masyarakat mengangkat nilai integriti sebagai teras dalam setiap tindakan agar impian untuk melihat Malaysia bebas rasuah dapat direalisasikan," jelasnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!