Buaya ancaman, tapi boleh jana ekonomi penduduk jika ditangkap, diniagakan

Jasnih ketika mendengar luahan golongan belia di kawasan DUN Pantai Dalit.
Jasnih ketika mendengar luahan golongan belia di kawasan DUN Pantai Dalit.
A
A
A

TUARAN - Kehadiran buaya di kawasan perairan di daerah ini menyebabkan aktiviti ekonomi penduduk terjejas kerana bimbang dengan ancaman serangan haiwan tersebut.

Perkara itu diluahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya yang tidak menolak bahawa isu kehadiran reptilia itu turut menjadi ancaman penduduk di daerah lain.

"Memang isu buaya ini satu masalah yang susah kita tangani. Maksudnya susahlah untuk nelayan, susah untuk penduduk-penduduk yang berada di tepi pesisiran pantai untuk turun ke laut. Kalau dulunya mereka mencari siput dan ketam yang perlu berjalan di dalam air, tetapi sekarang ini susah sebab ancaman buaya.

"Kita sudah ada beberapa kes yang berlaku, ada yang digigit buaya, menjadi kerisauan penduduk kalau ia terus tidak terkawal," katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan bengkel Program Belia 18: Agen Perubahan Demokrasi Hari ini anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Unimas yang diadakan baru-baru ini.

Jasnih (empat dari kiri duduk) bersama peserta merasmikan bengkel Program Belia 18: Agen Perubahan Demokrasi Hari ini anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Unimas di Tuaran.
Jasnih (empat dari kiri duduk) bersama peserta merasmikan bengkel Program Belia 18: Agen Perubahan Demokrasi Hari ini anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Unimas di Tuaran.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas luahan kebimbangan golongan belia yang hadir pada bengkel berkenaan berkaitan ancaman buaya terhadap penduduk di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Dalit.

Sebagai langkah untuk mengurangkan kebimbangan rakyat, Jasnih berkata, perbincangan turut dibuat bersama pihak berkaitan termasuk Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memikirkan bagaimana kaedah yang boleh diambil untuk menanggani isu buaya ini.

"Antaranya mungkin kita perlu pasukan untuk menembak haiwan ini sebab saya tidak boleh tunggu masalah ini diselesaikan kalau kita tiada rangka masa yang diberi.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin kita boleh buat perangkap supaya haiwan itu ditangkap. Jika dilihat di negara lain, buaya ini dijadikan sebagai aktiviti ekonomi di mana mungkin ia mempunyai nilainya yang tersendiri dan kita boleh jual.

"Jadi secara automatik kita berada dalam satu proses perniagaan, daripada tidak dapat ketam, kita dapat buaya yang mempunyai nilai. Maksud saya kita perlu kreatif tidak semestinya kita bunuh buaya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!