Pakar ilmu falak dinobat Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang 2025

Abdul Halim (dua dari kanan) menerima anugerah tersebut daripada Ramli.
Abdul Halim (dua dari kanan) menerima anugerah tersebut daripada Ramli.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Pakar ilmu falak dan astronomi, Datuk Dr Abdul Halim Abdul Aziz dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang 2025 atas sumbangan besar beliau dalam pembangunan ilmu falak serta penghasilan kalendar Islam yang lebih sistematik dan berwibawa.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu merupakan bekas pensyarah kanan di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang astronomi dan kini aktif dalam pelbagai badan falak di peringkat negeri dan kebangsaan.

Berbekalkan latar belakang akademik cemerlang dari luar negara, beliau memulakan pengajian peringkat A-Level di Hastings College of Further Education, St Leonards-on-Sea, United Kingdom (UK) sebelum menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda (BSc) di Lanchester Polytechnic.

Beliau yang berusia 67 tahun seterusnya memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang X-ray Crystallography dari Birkbeck College, University of London dan melengkapkan pengajian kedoktorannya (PhD) dalam bidang Astronomi Radio di Manchester University.

Sepanjang kerjayanya sebagai ahli akademik, Abdul Halim banyak menyumbang dalam penyelidikan berkaitan fenomena astronomi yang berkait rapat dengan waktu solat dan penentuan kalendar Islam.

Antaranya termasuk pembangunan USM Astronomical Almanac, kajian teori dan empirik waktu fajar dan isyak di altitud tinggi serta kriteria kenampakan anak bulan termuda bagi penambahbaikan takwim Hijri.

Beliau juga merupakan penulis kepada beberapa jurnal dan prosiding ilmiah berprestij antaranya A Robust Unified Islamic Calendar Proposal for the World dan Kajian Bermulanya Waktu Fajar.

Di samping itu, beliau aktif dalam Jawatankuasa Falak Pulau Pinang, Panel Pakar Falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Persatuan Falak Syarie Malaysia.

Beliau turut pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Pusat Pendidikan al-Itqan daripada tahun 2014 hingga 2023 dan kini pengasas Lisafa Centre (Literasi, Sains, Agama dan Falsafah) di Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Lisafa Centre yang ditubuhkan sejak 2020 telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Universiti Islam Negeri (UIN) Sunan Kalijaga, Indonesia untuk menawarkan pengajian formal dalam bidang Islam pada peringkat sarjana dan kedoktoran.

Beliau juga masih tetap menyumbang kepakarannya dalam bidang falak termasuk memperkenalkan kaedah pengiraan waktu solat menggunakan kaedah 'multi-point' yang lebih tepat dan inklusif.

Sumbangan beliau diiktiraf melalui penganugerahan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2023, serta Anugerah Maulidur Rasul (kategori inovasi) pada 1433 Hijrah.

Beliau yang kini menetap di Pulau Pinang bersama isteri, Datin Latifah Yusoff, 65 seorang suri rumah dikurniakan dua orang anak lelaki berusia 40 dan 27 tahun.

Kesemua penerima anugerah bergambar bersama Ramli (tengah) di Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Pulau Pinang pada Jumaat.
Kesemua penerima anugerah bergambar bersama Ramli (tengah) di Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Pulau Pinang pada Jumaat.

Anugerah Tokoh Maal Hijrah 2025 telah disampaikan kepada Abdul Halim oleh Yang di-Pertua Pulau Pinang (TYT) Tun Ramli Ngah Talib di Hotel Raia di sini pada Jumaat.

Abdul Halim menerima sijil penghargaan, trofi, hadiah sampingan dan wang tunai RM10,000.

Ia sebagai menghargai jasa dan dedikasi dalam memartabatkan ilmu falak Islam serta pembangunan ummah menerusi pendekatan saintifik dan berpaksikan syariah.

Abdul Halim berkata, pengiktirafan sebagai Tokoh Maal Hijrah 2025 merupakan satu penghormatan kepadanya dan bersyukur dengan anugerah berkenaan.

"Saya terharu kerana sebenarnya saya tidak diberitahu lebih awal bahawa saya akan terima anugerah ini.

"Alhamdulillah, syukur ke hadrat ALLAH SWT atas penghormatan ini,'' katanya ketika ditemui.

Selain Abdul Halim, Datuk Dr Mohamed Amir Shah Abdul Aziz dianugerahkan Anugerah Ikon Pendakwah manakala Anugerah Khas diterima oleh Profesor Dr Noor Inayah Yaakub.

Mohamed Amir berusia 47 tahun merupakan Pengarah Perubatan dan Pakar Kanser Senior di ICON Cancer Centre Malaysia, Island Hospital.

Sementara Noor Inayah, 56, merupakan Ketua Pegawai Eksekutif & Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!