Abdul Halim, Abdul Puhat mahu lengkapkan misi pembangunan takraw

TIMBALAN Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Abdul Halim Suleiman menegaskan keputusannya untuk terus mempertahankan jawatan nombor dua dalam badan induk itu dibuat atas semangat untuk memperkukuh hala tuju pembangunan sukan warisan berkenaan.
Menurut Abdul Halim yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Johor, keputusan tersebut turut didorong keinginan menyempurnakan beberapa perkara yang masih belum dituntaskan dalam pentadbiran terdahulu, selain membantu merealisasikan aspirasi Presiden Datuk Mohd Sumali Reduan.
“Saya menawarkan diri untuk terus membantu dan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden kerana masih ada perkara-perkara yang telah kami sepakati bersama sebelum ini, tetapi belum sempat dilaksanakan sepenuhnya.
“Saya juga ingin membantu merealisasikan aspirasi Datuk Sumali, khususnya dalam aspek pembangunan sukan dan memastikan sepak takraw terus berkembang serta meraih kejayaan dalam pelbagai acara pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.
Abdul Halim bakal berdepan saingan sengit pada pemilihan kepimpinan PSM penggal 2025 hingga 2028 yang dijadual berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) pada Ahad.
Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh sebelum ini mengesahkan bahawa pemilihan jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Abdul Halim; Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan (penyandang) yang merupakan Presiden Persatuan Sepaktakraw Perak Darul Ridzuan; dan Syed Azmir Syed Ahmad (Presiden Persatuan Sepaktakraw Perlis).
Menurut Abidullah, tiga calon berkenaan telah melepasi tapisan Jawatankuasa Bebas Pemilihan Jawatan Tertinggi PSM yang diketuai Profesor Dr Mohad Anizu Mohd Nor, dan disahkan layak untuk bertanding bagi mengisi dua kekosongan jawatan Timbalan Presiden.
Dalam perkembangan sama, tiga jawatan Naib Presiden pula menyaksikan saingan empat penjuru apabila tiga penyandang, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu), Wan Mohd Husni Abdullah (Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan), Datuk Abu Jimi Samat (Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Pahang) dicabar Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor, Datuk Ahmad Zaffry Sulaiman.
Terdahulu, jawatan Presiden PSM kekal milik penyandangnya, Mohd Sumali selepas diumumkan menang tanpa bertanding.
Abdul Halim dalam masa sama menyeru agar pemilihan kali ini berlangsung dalam suasana penuh harmoni, tanpa mencetuskan sebarang perpecahan dalam kalangan ahli gabungan yang boleh merencatkan kekuatan dan perpaduan dalam persatuan.
“Sepanjang ini, suasana dalam PSM sangat harmoni dan kami tidak bermusuhan sesama sendiri. Janganlah disebabkan pemilihan kali ini wujud perpecahan yang akhirnya menjejaskan kekuatan persatuan. Kita harus belajar daripada kesilapan lalu dan tidak mengulangi perkara yang boleh merosakkan imej serta pentadbiran PSM secara keseluruhan,” tegasnya.
Sementara itu, Abdul Puhat pula menzahirkan komitmennya untuk terus berkhidmat di bawah kepimpinan Sumali, khususnya dalam memacu pembangunan bakat menerusi pendekatan yang lebih menyeluruh.
“Saya menawarkan diri sekali lagi untuk berkhidmat di bawah kepimpinan Datuk Sumali dalam mengembalikan semula kegemilangan sepak takraw negara.
“Program pembangunan bakat kini berada di landasan terbaik dengan wujudnya Akademi Sepak Takraw Malaysia yang akan menjadi pemangkin utama dalam melahirkan bakat baharu ke arah masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
