Kapten Syahir pegawai KAGAT pertama tamat Kursus Asas Penerbangan Helikopter

Kejayaan Kapten Syahir membuktikan bahawa ilmuwan agama juga mampu mencabar keupayaan diri di luar bidang konvensional mereka.
Kejayaan Kapten Syahir membuktikan bahawa ilmuwan agama juga mampu mencabar keupayaan diri di luar bidang konvensional mereka.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT) mencipta sejarah apabila seorang pegawainya, Kapten Syahir Azmi, muncul sebagai pegawai KAGAT pertama menamatkan Kursus Asas Penerbangan Helikopter, sekali gus membuktikan kemampuan golongan agamawan untuk cemerlang dalam bidang taktikal dan teknikal ketenteraan.

Ketua Pengarah KAGAT, Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujai berkata, kejayaan itu membuktikan kemampuan dan kesungguhan pegawai KAGAT untuk cemerlang dalam pelbagai bidang, termasuk bidang penerbangan ketenteraan yang memerlukan ketahanan mental dan fizikal tinggi.

“Kejayaan Kapten Syahir ini bukan sahaja membanggakan warga KAGAT, malah membuktikan bahawa ilmuwan agama juga mampu mencabar keupayaan diri di luar bidang konvensional mereka,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kapten Syahir yang berasal dari Johor Bahru, Johor ditauliahkan sebagai pegawai KAGAT melalui Skim Pegawai Kadet Graduan Siri 34 pada tahun 2020. Beliau memulakan perkhidmatan di Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) di Gemas, Negeri Sembilan sebelum dipindahkan ke Batalion Ke-2 Rejimen Sempadan, Jeli, Kelantan.

Berbekalkan semangat dan minat mendalam dalam dunia penerbangan, beliau terlebih dahulu mengikuti Kursus Survival sebelum menyertai Kursus Ilmu Penerbangan Asas Siri 86/24 di Institut Penerbangan (INSPEN) 1, dan seterusnya melanjutkan pengajian ke INSPEN 2 bagi menyempurnakan kursus asas helikopter.

Anak jati Johor itu merupakan graduan Universiti Al-Bayt, Mafraq, Jordan, yang sering tampil menyampaikan khutbah dan kuliah, namun membuktikan bahawa peranan seorang agamawan tidak terbatas kepada ceramah semata-mata, sebaliknya turut menyumbang di medan pertahanan negara.

“Sepanjang latihan intensif, beliau menunjukkan kecekalan, ketabahan dan semangat jihad yang tinggi, selaras dengan moto KAGAT iaitu ‘Berjuang Berakhlak’,” ujar Mohd Rashidi.

Beliau menambah, pencapaian ini harus menjadi inspirasi kepada warga muda KAGAT agar terus berani mencabar diri dan memperluaskan kompetensi selari dengan perkembangan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kejayaan Kapten Syahir ini turut dilihat sebagai satu pengiktirafan kepada KAGAT sebagai teras pemangkin kerohanian ATM, yang bukan sahaja berperanan dalam pembentukan rohani anggota, tetapi turut menyumbang dalam pelbagai aspek operasi dan keselamatan negara.

Artikel Berkaitan:

“Syabas diucapkan kepada Kapten Syahir Azmi. Beliau adalah contoh Dai Askari yang bukan sahaja mampu berkhutbah, tetapi juga terbang di angkasaraya demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!