JSJ Bukit Aman, Kuala Lumpur bekerjasama buru suspek kes tembak

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur bekerjasama rapat dengan JSJ Bukit Aman bagi mengesan suspek kes tembakan yang berlaku di Cheras dan Brickfields, di sini, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, beberapa siri mesyuarat penyelarasan telah diadakan sebagai sebahagian daripada usaha siasatan yang sedang dijalankan.
“Setakat ini, masih belum ada suspek yang dikenal pasti secara muktamad dan siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti individu terlibat.
"Beberapa motif kejadian juga sedang diteliti bersama JSJ Sarawak membabitkan kes di Cheras,” katanya pada Jumaat.
Beliau turut memaklumkan bahawa fotofit tidak dapat dihasilkan kerana saksi di lokasi kejadian memaklumkan suspek memakai pelitup muka dan topi.
Sebelum ini, media melaporkan dua kejadian tembakan yang berlaku dalam tempoh empat hari di sekitar ibu negara dipercayai berpunca daripada perseteruan antara suspek dan mangsa.
Polis Kuala Lumpur dilaporkan berkata bahawa kedua-dua kes tembakan yang berlaku adalah akibat masalah yang timbul di luar kontinjen Kuala Lumpur dan dibawa ke sini.
Berdasarkan siasatan awal polis, kejadian tembakan yang membabitkan dua lelaki di hadapan sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras pada 16 Jun lalu dipercayai berpunca daripada aktiviti penyeludupan di Sibu, Sarawak.
Sementara itu, kejadian tembakan yang berlaku di Brickfields pada 13 Jun pula dipercayai berpunca daripada konflik aktiviti jenayah yang berlaku di Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
