Tutup pintu sempadan, elak cecair dadah masuk pasaran tempatan

SHAH ALAM- Cadangan menutup pintu sempadan negara bagi tujuan menghalang kemasukan cecair vape yang mengandungi bahan terlarang perlu dilaksanakan untuk melindungi golongan muda.
Pengarah Urusan Nanostix Innovations Sdn Bhd (Nanostix), Shahabudeen Jalil berkata, aktiviti jualan di pintu masuk sempadan negara yang tidak terkawal berisiko merosakkan generasi muda.
Beliau mendakwa, kekurangan mengawal selia dan ketirisan di pintu sempadan menjadi punca sehingga membolehkan cecair daripada bahan terlarang mudah disebarkan sehingga menyebabkan sesetengah pihak membuat tuduhan terhadap industri vape.
“Penentangan terhadap industri baharu seperti ini akan sentiasa ada. Peranan penggubal undang-undang sama ada ahli Parlimen ataupun pegawai kerajaan perlu sentiasa mengikut undangundang supaya ia tidak terlepas daripada tangan kita.
“Jalan penyelesaian terbaik adalah dengan menutup pintu sempadan negara tempatan tidak ada yang dimasukkan dadah, disalah guna, dimasukkan bahan terlarang kerana semuanya datang dari luar.
“Kedua, saya percaya cecair terlarang bukan dijual di kedai vape tetapi di jalanan, pasaran gelap atau dalam talian. Tidak dinafikan kita lemah dari segi penguatkuasaan, jadi kita saran pintu import ditutup,” katanya dalam Wacana bertajuk Vape: Kawal Selia atau Haram Sahaja? di Studio F, Karangkraf, di sini pada Khamis.
Wacana itu juga turut menampilkan Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dan Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Dr Armin Baniaz Pahamin serta Ismail Adnan selaku moderator.

Beliau berpendapat, cadangan itu perlu disusuli dengan mengawal selia beberapa syarikat tempatan dengan kerjasama agensi kerajaan untuk mengelakkan cecair tersebut dicampur bahan terlarang.
Menurutnya, dengan kaedah tersebut, kerajaan, pihak berkuasa dan pemain industri berupaya menjejaki dalang yang bertanggungjawab serta boleh mendakwa mereka di mahkamah.
“Dengan cara itu kita akan lebih terkawal dan dapat tahu siapa yang mengeluarkannya, siapa yang bertanggungjawab dan siapa yang boleh didakwa di mahkamah.
“Bukan sesuatu yang tiba-tiba masuk dari luar negara dan sesuatu jadi dekat seseorang ini, kita nak tahu siapa jual dekat dia bukan sahaja yang jual, siapa yang hasilkan juga.
“Itu yang saya nampak dan perkasakan usahawan tempatan, buat segalanya secara tempatan, jadi duit kita pun tidak keluar dari Malaysia, setidaknya ia masih berpusing dalam negara,” ujarnya.
Mengulas berkenaan sekatan penjualan vape secara menyeluruh, beliau berpendapat, ia tidak akan menghapuskan permintaan bekalan, sebaliknya akan menyebabkan kerajaan hilang kawalan terhadap industri berkenaan.
Ujarnya, jika kehilangan kawalan, industri tersebut akan jatuh ke tangan pasaran gelap dan kumpulan tidak bertanggungjawab termasuk sindiket jenayah.
Shahabudeen berkata, situasi tersebut akan menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai selain ia juga membahayakan keselamatan pengguna.
“Tindakan mengharamkan bahaya untuk masa hadapan, jadi bagi kami dalam industri, perkara ini mudah, kita nak berniaga dengan aman dan harmoni. Apabila kerajaan Persekutuan sudah membuat undang-undang, kami tetap akan ikut.
“Tetapi sekali lagi, persoalan sama ada nak mengharamkan atau tidak, ini sudah kurang relevan,” jelas beliau.
Bagaimanapun, Shahabudeen menyatakan kerajaan negeri juga perlu memperkenalkan peraturan tertentu mengikut kesesuaian negeri dan tidak melangkaui bidang kuasa yang ditetapkan.
Jelasnya, industri vape tidak berniat untuk melanggar peraturan, sebaliknya mahu bekerjasama dengan semua pihak demi kelangsungan industri secara sah.
Industri vape sumbang RM3 bilion, bukan angka kecil

Sementara itu, Ahmed Razman berkata, sumbangan industri vape negara yang dianggarkan bernilai lebih RM3 bilion setahun bukan satu angka kecil, walaupun hanya mewakili kurang daripada 0.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menurutnya, jumlah tersebut menyamai hampir satu perempat daripada keseluruhan nilai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak RM13 bilion.
“Memang dari segi peratusan terhadap KDNK nampak kecil, tetapi kuantum RM3 bilion itu besar. Ia boleh dimanfaatkan oleh mana-mana kerajaan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif membantu rakyat,” katanya.
Beliau berkata, industri itu berkembang pesat, Malaysia kini menjadi antara pasaran utama bagi negara pengeluar seperti China, sekali gus menunjukkan potensi ekonomi yang besar jika dikawal selia secara menyeluruh.
Bagaimanapun, katanya, kawal selia perlu ditambah baik bagi mengelak produk tidak selamat menembusi pasaran tempatan selain memastikan industri tidak menjadi medan kepada penyalahgunaan bahan terlarang.
Kawal selia ketat, lebih baik daripada haramkan terus vape

Sementara itu, Armin Baniaz berkata, cadangan kerajaan untuk mengharamkan vape secara mutlak bukan hanya kurang realistik dan berpotensi memberi kesan negatif besar terhadap ekonomi, kesihatan awam serta kawalan pasaran.
Beliau berkata, pengharaman mutlak akan menelan kos penguatkuasaan sehingga RM282 juta setahun serta memerlukan penglibatan pelbagai agensi termasuk polis, kastam dan kementerian berkaitan.
"Kos tinggi ini hanya untuk mengawal larangan yang belum tentu berkesan. Tambahan pula, pasaran gelap dijangka melonjak hingga RM564 juta jika vape diharamkan," katanya.
Berikutan itu, Armin Baniaz memberi amaran bahawa larangan akan membuka ruang kepada penyeludupan serta penjualan produk tidak sah, sekali gus menjejaskan kutipan cukai negara.
Sebagai alternatif, Armin Baniaz mencadangkan kawal selia ketat terhadap industri vape termasuk had umur, kawalan kandungan nikotin, pelabelan amaran kesihatan dan larangan produk tiruan.
Menurutnya, model kawalan seperti di United Kingdom berjaya mengurangkan jumlah perokok melalui penggunaan vape sebagai alat sokongan berhenti merokok.
Beliau juga menegaskan bahawa perbahasan mengenai vape perlu melihat kepada aspek ekonomi, penguatkuasaan dan kebajikan rakyat, bukan semata-mata isu moral atau kesihatan.
"Pendekatan kawal selia jauh lebih praktikal dan mampan. Tanpa kawalan, pengguna terdedah kepada produk tiruan yang lebih berbahaya dan kerajaan pula kehilangan hasil penting," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

