KPKT laksana kelulusan peruntukan PBT guna sistem 'lampu isyarat'

Kor Ming (dua dari kiri) menerima cendermata ketika menerima kunjungan Persatuan PBT di kementeriannya di Putrajaya pada Rabu.
Kor Ming (dua dari kiri) menerima cendermata ketika menerima kunjungan Persatuan PBT di kementeriannya di Putrajaya pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan sistem pemantauan prestasi berasaskan ‘lampu isyarat’ sebagai asas pertimbangan bagi kelulusan peruntukan pada masa hadapan.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diletakkan dalam tiga kategori iaitu hijau, kuning dan merah berdasarkan penilaian prestasi.

Menurut beliau, kategori hijau diberikan kepada PBT berprestasi cemerlang, yang mana peruntukan akan diteruskan atau ditambah. Kategori kuning mewakili prestasi sederhana dan peruntukan akan dinilai semula, manakala kategori merah menunjukkan prestasi lemah dan berkemungkinan besar akan mengakibatkan pemotongan atau pembatalan peruntukan.

Kor Ming (tengah) bergambar bersama wakil Persatuan PBT ketika mengadakan pertemuan di kementeriannya di Putrajaya.
Kor Ming (tengah) bergambar bersama wakil Persatuan PBT ketika mengadakan pertemuan di kementeriannya di Putrajaya.

“Terdapat tiga komponen utama penilaian bagi sistem pemantauan ini, iaitu kecekapan dan pematuhan proses perolehan (30 peratus); kemajuan pelaksanaan projek serta pematuhan terhadap jadual kerja dan spesifikasi teknikal (40 peratus); serta ketepatan masa dalam penghantaran dokumen lengkap bagi tuntutan dan penyaluran peruntukan melalui sistem EFT (30 peratus),” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Kor Ming mengadakan pertemuan bersama Persatuan PBT yang diketuai Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali; Presiden Persatuan PBT, Datuk Abd Hamid Hussain serta barisan delegasi Jawatankuasa PBT di kementeriannya di Putrajaya pada Rabu.

Dalam pertemuan itu, Kor Ming turut mengingatkan kesemua 156 PBT supaya meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam dan mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan rakyat.

Menurutnya, usaha tersebut penting bagi menambah baik aspek kemudahan menjalankan perniagaan dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara, sekali gus meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, KPKT menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu kelewatan pelaksanaan projek dan kerenah pentadbiran yang telah wujud sejak era 1980-an, yang tidak sepatutnya berulang.

“Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara. Bagi mencapai matlamat ini, kita perlu memastikan perkhidmatan awam yang berkualiti, khususnya dari segi proses kelulusan dan pelaksanaan agar dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mewujudkan persekitaran yang mesra pelabur.

“Kini, Malaysia telah menjadi antara negara yang pesat membangun di dunia, dengan pelonjakan 11 anak tangga daripada tangga ke-34 ke tangga ke-23 dalam World Competitiveness Ranking. Maka, seluruh negara perlu bersatu padu untuk mengorak langkah demi mencipta kegemilangan baharu. Semua PBT perlu bergerak pantas kerana masa itu emas,” katanya.

Tambah beliau, KPKT turut menetapkan tempoh maksimum bagi kelulusan sesuatu projek pembangunan berdasarkan skala bagi memastikan ia dilaksanakan secara cekap dan teratur mengikut keperluan.

Tempoh kelulusan maksimum bagi projek berskala kecil ialah 14 hari, projek sederhana sehingga 60 hari, manakala projek berskala besar ditetapkan tidak melebihi 120 hari termasuk proses tender terbuka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!