Lagi kes kereta langgar lampu isyarat merah rempuh dua motosikal

Tangkap layar dua motosikal dirempuh sebuah kereta yang dikatakan melanggar lampu merah di Jalan Felda Sendayan, Seremban.
Tangkap layar dua motosikal dirempuh sebuah kereta yang dikatakan melanggar lampu merah di Jalan Felda Sendayan, Seremban.
A
A
A

NILAI - [DIKEMAS KINI] Satu lagi insiden penunggang motosikal dirempuh kereta yang melanggar lampu isyarat merah berlaku di daerah ini iaitu di Jalan Felda Sendayan di sini, pada Isnin.

Video kejadian itu yang berdurasi 45 saat turut tular di media sosial memaparkan sebuah kereta Perodua Myvi merempuh dua penunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kemalangan membabitkan kereta Perodua Myvi dipandu seorang wanita berusia 38 tahun dan dua motosikal jenis Honda Dash yang ditunggang seorang wanita berusia 21 tahun dan motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggang lelaki berusia 52 tahun.

"Hasil siasatan awal mendapati, ketika kejadian pemandu kereta dalam perjalanan dari arah Bandar Sri Sendayan, menghala ke Nilai manakala kedua-dua penunggang motosikal dari arah Gadong ke Sendayan.

"Apabila tiba di lokasi kemalangan, kereta dipercayai gagal berhenti di lampu isyarat berwarna merah manakala lampu isyarat di bahagian penunggang motosikal berwarna hijau," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan penunggang Honda Dash mengalami cedera parah manakala penunggang Yamaha LC cedera ringan dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk mendapatkan rawatan.

Ujarnya, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Farid Danial Azli di talian 012-9122198," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!