Fahami suara mahasiswa, PM janji agenda reformasi kekal utuh

SHAH ALAM – Kerajaan Madani akan terus menapak di landasan reformasi dalam memastikan setiap usaha memerangi rasuah diterjemahkan ke arah kesejahteraan dan kemakmuran buat seluruh rakyat Malaysia.
Berikutan itu, Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan insiden pembakaran karikatur dirinya di Kota Kinabalu harus dilihat sebagai lambang ketinggian harapan rakyat untuk melihat rasuah dibanteras hingga ke akar umbi.
“Perdana Menteri juga menitip pesan bahawa semangat perubahan bermula dengan keberanian anak muda menyuarakan kebenaran berlandaskan fakta dan niat yang tulus.
“Tegasnya, komitmen kerajaan terhadap agenda reformasi kekal utuh dan sedang diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan nyata serta berstruktur di semua peringkat,” katanya pada sesi taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia pada Selasa.
Justeru itu, Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri mengarahkan agar tiada tindakan dikenakan terhadap pelajar yang terlibat dalam demonstrasi 'Gempur Rasuah Sabah 2.0' baru-baru ini, termasuk insiden pembakaran karikatur dirinya.
Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri memahami denyut nadi suara rakyat khususnya anak muda yang lantang menuntut perubahan.
“Sebagai bekas aktivis mahasiswa dan reformis jalanan, Perdana Menteri memahami bahawa kritikan, walau sepedas mana sekalipun, adalah sebahagian perkara penting dalam meraikan demokrasi,” katanya.
Berikutan itu, Tunku Nashrul menegaskan Perdana Menteri turut mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) agar memastikan pelajar terlibat tidak disekat perjalanan akademik mereka, selari dengan semangat pendekatan kerajaan yang mengangkat nilai ihsan dan keterbukaan.
“Masa depan anak muda tidak harus terkorban hanya kerana perbezaan pandangan. Reformasi tidak menolak suara, sebaliknya merangkulnya sebagai sebahagian daripada kematangan demokrasi,” katanya lagi.
Tambah beliau, kerajaan akan terus memacu agenda antirasuah demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat, tanpa membelakangi prinsip keadilan dan kebebasan bersuara.
Terdahulu, media melaporkan satu aksi membakar kain rentang bergambar karikatur Anwar dilakukan oleh sekumpulan mahasiswa di akhir perhimpunan aman yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad lalu.
Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh kumpulan dikenali sebagai Sekretariat Rakyat Benci Rasuah sebagai bantahan terhadap isu rasuah dan dakwaan kegagalan pentadbiran kerajaan semasa menunaikan janji reformasi institusi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
