PM tidak mahu mahasiswa UMS bakar karikatur dibuang universiti - Zambry

SHAH ALAM - Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terlibat dalam insiden membakar karikatur beliau baru-baru ini dibuang universiti.
Menurut Zambry, Perdana Menteri berpandangan meskipun tindakan mahasiswa itu mencetuskan kontroversi, masa depan dan pengajian mereka perlu diberi keutamaan berbanding dikenakan hukuman yang terlalu keras.
“Bagi Perdana Menteri, mereka mungkin telah membuat kesilapan tetapi masa depan dan pengajian mereka jauh lebih penting dan perlu diutamakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, satu aksi membakar kain rentang bergambar karikatur Anwar dilakukan oleh sekumpulan mahasiswa di akhir perhimpunan aman yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad lalu.
Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh kumpulan dikenali sebagai Sekretariat Rakyat Benci Rasuah sebagai bantahan terhadap isu rasuah dan dakwaan kegagalan pentadbiran kerajaan semasa menunaikan janji reformasi institusi.
Jurucakapnya, Fadhil Kasim berkata, karikatur dibakar itu merupakan simbol protes terhadap pelantikan Tan Sri Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah, meskipun tokoh pemimpin berkenaan pernah berdepan 46 pertuduhan jenayah berkaitan konsesi balak di negeri tersebut.
Kesemua pertuduhan itu bagaimanapun ditarik balik oleh pendakwa raya dengan Musa dilepas serta dibebaskan oleh mahkamah pada Jun 2020.
Sementara itu, Zambry berkata, sebarang tindakan tatatertib terhadap pelajar harus mengambil kira prinsip keadilan dan hak bersuara secara sah di sisi undang-undang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

