Tindakan bakar karikatur PM tidak beradab, cemari demokrasi – Sivamalar

Sivamalar
Sivamalar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan sekumpulan pelajar membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa perhimpunan 'Gempur Rasuah Sabah 2.0' di Kota Kinabalu, baru-baru ini disifatkan sebagai keterlaluan, tidak berbudaya dan mencemarkan nilai demokrasi negara.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivamalar Genapathy berkata, meskipun Perlembagaan Persekutuan menjamin hak untuk berhimpun secara aman, tindakan membakar imej yang mewakili institusi tertinggi negara adalah perbuatan tidak beradab yang boleh mengganggu keharmonian awam.

“Tindakan itu mencemar nilai demokrasi dan tidak mencerminkan akhlak serta ketamadunan yang wajar dimiliki golongan muda,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, belia berhak menyuarakan pendapat, namun ia perlu disalurkan secara matang dan bertanggungjawab.

Katanya, Sidang Belia Wilayah Persekutuan (SBWP) adalah contoh terbaik bagaimana suara anak muda boleh didengari secara konstruktif tanpa mencemarkan adab masyarakat dan tatasusila demokrasi negara.

“Platform seperti SBWP menunjukkan bahawa anak muda kita bukan sahaja prihatin, malah mampu menjadi pemimpin masa depan yang berkualiti serta memahami sistem demokrasi berparlimen,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penganjuran Mesyuarat Pertama Penggal 2025 Sidang Belia Wilayah Persekutuan (SBWP) yang berlangsung dari Sabtu hingga Isnin.

Wakil belia hadir pada Sidang Belia Wilayah Persekutuan (SBWP) Mesyuarat Pertama Penggal 2025 yang berlangsung dari Sabtu hingga Isnin.
Wakil belia hadir pada Sidang Belia Wilayah Persekutuan (SBWP) Mesyuarat Pertama Penggal 2025 yang berlangsung dari Sabtu hingga Isnin.

Artikel Berkaitan:

Sidang berkenaan merupakan inisiatif strategik Jabatan Wilayah Persekutuan di bawah naungan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

SBWP menjadi platform inklusif bagi anak muda dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk memahami secara langsung proses penggubalan dasar serta sistem demokrasi berparlimen.

Seramai 65 wakil belia daripada pelbagai latar belakang termasuk tiga pelajar Tingkatan Enam menyertai sidang tersebut yang membincangkan isu-isu merentas pelbagai kluster seperti ekonomi, sosial, teknologi, perundangan dan alam sekitar.

Sivamalar berkata, beliau amat kagum dengan kematangan serta kecerdasan para peserta dalam berhujah dan mengemukakan cadangan dasar yang bernas.

“SBWP bukan sekadar medan debat, malah satu mekanisme berstruktur yang membolehkan suara belia diterjemahkan dalam bentuk memorandum dan cadangan kepada agensi kerajaan,” katanya.

Tambah beliau, program seperti ini membuktikan bahawa anak muda mampu menjadi agen perubahan sekiranya diberi ruang dan bimbingan yang betul.

Dalam pada itu, Sivamalar turut menyeru agar semua negeri mempertimbangkan pelaksanaan program serupa bagi memperkasakan penyertaan belia dalam proses kenegaraan.

“Negara kita memerlukan lebih ramai pemimpin masa depan yang memahami dasar, menghormati institusi dan bersikap matang dalam membawa perubahan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pemimpin masa kini bertanggungjawab bukan sahaja untuk mendengar suara belia, tetapi juga memastikan mereka dibimbing ke arah jalan yang betul.

“Anak muda perlu dibentuk dengan akal yang tajam, jiwa yang luhur dan semangat cinta terhadap tanah air yang mendalam,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!