Diuji kehilangan, dua pelajar raih keputusan cemerlang STPM 2024

Nuraisha (kanan) merakam gambar bersama kakaknya, Nur Fathihah ketika meraikan keputusan cemerlang STPM yang diperoleh di SMK Bukit Tunggal, Kuala Nerus.
Nuraisha (kanan) merakam gambar bersama kakaknya, Nur Fathihah ketika meraikan keputusan cemerlang STPM yang diperoleh di SMK Bukit Tunggal, Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA NERUS - Dua pelajar perempuan dari Terengganu dan Pulau Pinang membuktikan bahawa kehilangan ibu bapa bukan penghalang untuk berjaya apabila masing-masing memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 yang diumumkan pada Selasa.

Di Kuala Nerus, Nuraisha Munira Muda, 20, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tunggal, nekad berusaha bersungguh-sungguh demi menunaikan amanat arwah bapanya.

“Saya sentiasa ingat pesanan arwah ayah supaya saya belajar bersungguh-sungguh dan pesanan itu sentiasa terpahat dalam hati saya,” katanya ketika ditemui di sekolahnya.

Ibunya, Khairiah Embong, meninggal dunia secara mengejut pada 2021, manakala bapanya, Muda Mat Ali, pula menghembuskan nafas terakhir akibat kanser paru-paru pada 2023.

“Pemergian mereka sangat menyedihkan dan hampir membuatkan saya hilang semangat. Namun saya terus kuat demi menunaikan pesanan ayah untuk berjaya dalam pelajaran,” ujarnya.

Kini menetap bersama kakak dan abangnya di Kampung Bukit Kandis, Nuraisha merupakan anak bongsu daripada empat beradik.

Beliau bercita-cita menjadi Pereka Hiasan Dalaman dan mahu menyambung pengajian dalam bidang rekabentuk dalaman demi mengubah nasib keluarga.

“Sejak awal lagi saya meletakkan sasaran untuk cemerlang dalam STPM,” katanya.

Beliau mengambil empat subjek: Bahasa Melayu, Pengajian Am, Pengajian Perniagaan dan Seni Visual.

Artikel Berkaitan:

Nur Aishah menunjukkan slip keputusan peperiksaan kepada ibunya.
Nur Aishah menunjukkan slip keputusan peperiksaan kepada ibunya.

Sementara itu di Butterworth, Nur Aishah Marzuki, 20, pelajar Kolej Tingkatan Enam Desa Murni, turut membuktikan bahawa prinsip 'usaha tidak akan mengkhianati hasil' benar-benar menjadi kenyataan.

“Saya cuma dapat 6A dalam SPM dan STPM pun bukan pilihan asal saya. Tapi mungkin ini takdir ALLAH. Saya percaya kalau hanya rajin dan pandai tapi tak berusaha, kita tetap takkan berjaya,” katanya.

Nur Aishah kehilangan bapanya, Marzuki Hashim, bekas anggota tentera, dalam kemalangan jalan raya lima tahun lalu.

Sejak itu, ibunya, Wan Noriza Azmi, 50, menyara kehidupan mereka empat beradik dengan wang pencen arwah.

“Mak adalah sumber kekuatan saya. Terima kasih mak, kerana tak pernah jemu beri semangat dan sokongan walaupun kami hidup sederhana.

“Saya banyak mengulangkaji pelajaran, melipatgandakan usaha dan mendekatkan diri dengan ALLAH. Itu antara rahsia kejayaan saya,” katanya.

Lebih menyentuh hati, Nur Aishah berkata, beliau menunaikan janji kepada arwah ayah untuk memperoleh keputusan cemerlang.

“Hari ini saya tunaikan janji itu. Saya terharu dan bersyukur. Ini semua hasil usaha, doa mak dan rahmat ALLAH,” katanya.

Nur Aishah berhasrat menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan Geografi di Universiti Sains Malaysia (USM) untuk merealisasikan cita-citanya menjadi seorang guru, sebagaimana yang pernah dinyatakan kepada arwah bapanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!