STPM 2024: Pelajar SMKA Naim Lilbanat cacat penglihatan raih PNGK 4.0

Tengku Nurhanis (dua dari kiri) bersama rakan-rakan yang menerima keputusan cemerlang dalam STPM.
Tengku Nurhanis (dua dari kiri) bersama rakan-rakan yang menerima keputusan cemerlang dalam STPM.
A
A
A

KOTA BHARU – Kekurangan diri akibat cacat penglihatan sebelah kiri tidak menjadi penghalang kepada Tengku Nurhanis Tengku Othman, 20, untuk berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.

Calon STPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat itu memperoleh keputusan 4A dan 1A- dalam lima mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Syariah dan Usuluddin.

Berkongsi keadaannya, Tengku Nurhanis memaklumkan bahawa beliau didiagnosis menghidap kanser retinoblastoma pada usia dua tahun sehingga menyebabkan mata kirinya terpaksa dibuang bagi mengelakkan jangkitan merebak ke sebelah kanan.

“Saya juga terpaksa menggunakan mata palsu sejak usia tiga tahun dan sudah tiga kali menukar mata palsu mengikut kesesuaian usia,” katanya.

Tengku Nurhanis ditemui pemberita selepas Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2024 di sekolah berkenaan yang disampaikan oleh Pengetua, Ab Raishan Ab Rashid.

Bercerita mengenai kejayaannya, anak kepada pasangan peniaga, Tengku Othman Tuan Yahya, 63, dan pesara guru, Gayah Yazid, 61, mengakui bahawa beliau hanya seorang pelajar biasa di sekolah dan tidak pernah menyangka akan memperoleh keputusan cemerlang.

Beliau memberitahu, keadaan matanya menyebabkan beliau mengalami sakit kepala sekiranya terlalu lama memberi tumpuan ketika menelaah buku atau nota.

Namun, beliau bersyukur kerana diberi masa tambahan selama setengah jam untuk menjawab soalan dalam peperiksaan.

“Kadang-kadang saya perlu mengambil ubat untuk mengurangkan kesakitan dan berehat sebelum menyambung ulang kaji.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun saya tidak pernah menganggap kecacatan yang dialami sebagai satu keburukan, malah saya berusaha untuk mencapai cita-cita saya,” katanya.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu bercita-cita menjadi pensyarah dalam bidang pendidikan tahfiz dan qiraat serta berhasrat menyambung pengajian di Kolej Universiti Islam Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!