Pesara rugi hampir RM700,000 terpedaya ‘phone scam’ menyamar polis, bank

Seorang pesara rugi RM696,513 selepas menjadi mangsa 'phone scam' menyamar sebagai pegawai bank dan polis. Gambar hiasan
Seorang pesara rugi RM696,513 selepas menjadi mangsa 'phone scam' menyamar sebagai pegawai bank dan polis. Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN – Seorang pesara kilang berusia 65 tahun di Bayan Lepas kerugian hampir RM700,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon atau ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai bank dan polis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, polis menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian itu pada 23 Jun lalu.

Menurutnya, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah bank dan memaklumkan terdapat penyalahgunaan kad kredit Platinum Master atas namanya.

“Mangsa menafikan memiliki kad kredit tersebut sebelum panggilan itu disambungkan kononnya ke Balai Polis Johor.

“Mangsa kemudian bercakap dengan seorang individu yang mengaku sebagai pegawai polis dan mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, suspek meminta mangsa memindahkan semua wangnya ke akaun tertentu untuk tujuan audit dan berjanji wang berkenaan akan dikembalikan selepas siasatan selesai.

“Mangsa turut diugut bahawa waran tangkap akan dikeluarkan sekiranya ingkar terhadap arahan yang diberikan.

“Akibat takut, mangsa membuat 27 transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke tiga akaun bank berbeza bermula 19 Mei hingga 5 Jun lalu, melibatkan jumlah keseluruhan RM696,513.50,” ujarnya.

Hamzah berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas memaklumkan kejadian tersebut kepada rakannya sebelum membuat laporan polis.

Artikel Berkaitan:

“Saya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap panggilan mencurigakan dan jangan sesekali mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan.

“Orang ramai digesa membuat semakan terhadap nombor telefon dan akaun bank yang meragukan di portal semakmule.rmp.gov.my atau segera hadir ke balai polis berhampiran. Jika sudah menjadi mangsa, hubungi bank masing-masing atau talian NSRC 997 untuk tindakan segera,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar memainkan peranan sebagai penyebar mesej kesedaran supaya jenayah komersial, terutamanya penipuan dalam talian, dapat dibendung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!