Pulau Pinang catat pelaburan RM6.7 bilion, kedua tertinggi selepas Sabah

GEORGE TOWN – Pulau Pinang terus menjadi destinasi pelaburan utama negara apabila merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM6.7 bilion dalam sektor pembuatan bagi suku pertama 2025.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jumlah itu mewakili 22 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara, sekali gus meletakkan negeri ini sebagai penyumbang kedua tertinggi selepas Sabah.
Menurutnya, sebanyak 36 projek pembuatan telah diluluskan di negeri itu dan dijangka mewujudkan 4,577 peluang pekerjaan baharu.
“Lebih membanggakan, sebanyak 90 peratus daripada jumlah pelaburan ini, bersamaan RM6.1 bilion, adalah daripada sumber pelaburan asing.
“Ini mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab pembuatan berteknologi tinggi dan inovasi bertaraf global,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, pecahan pelaburan menunjukkan kekuatan industri utama negeri itu apabila 79 peratus disalurkan ke dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), manakala 15 peratus lagi ke dalam sektor jentera dan peralatan.
Katanya, antara penyumbang utama pelaburan asing termasuk Amerika Syarikat (RM2.4 bilion), Hong Kong (RM1.3 bilion) dan Taiwan (RM1.1 bilion).
“Minat berterusan ini sejajar dengan prestasi kukuh Pulau Pinang pada tahun lalu yang menyaksikan Singapura mencatatkan pelaburan RM4.0 bilion, diikuti Amerika Syarikat (RM2.9 bilion) dan Taiwan (RM2.1 bilion),” jelasnya.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kejayaan itu merupakan hasil fokus negeri dalam membina ekonomi berdaya tahan yang dipacu oleh inovasi, ditambah pula dengan kedudukan strategik Pulau Pinang dalam rantaian bekalan global serta sokongan infrastruktur dan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Pulau Pinang turut memberi tumpuan kepada bidang bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan maju dan pembuatan peralatan berketepatan tinggi, seiring dengan Strategi Semikonduktor Nasional.
“Pada masa sama, kita juga meneroka sektor baharu seperti teknologi perubatan dan perkhidmatan perniagaan global bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih luas dan mampan,” katanya.
Beliau menegaskan, pengumuman pelaburan ini bukan sekadar kejayaan semasa, tetapi isyarat jelas bahawa Pulau Pinang bersedia memacu transformasi industri Malaysia secara strategik dan inklusif menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak dalam dan luar negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
