Pulau Pinang lulus tanah bina Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi

BATU KAWAN – Kerajaan Pulau Pinang meluluskan sebidang tanah di kawasan Vision Park, Bertam, Kepala Batas bagi pembinaan Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai memperingati jasa dan legasi bekas Perdana Menteri itu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pemilikan tanah berkenaan telah dimuktamadkan dan akan diserahkan kepada Arkib Negara Malaysia bagi merealisasikan pembinaan galeri yang dicadangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
“Kerajaan negeri memilih tanah di Vision Park, Bertam kerana Tun Abdullah merupakan bekas Ahli Parlimen Kepala Batas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penamaan Semula Lebuhraya Bandar Cassia kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi di Bandar Cassia, di sini pada Selasa.
Turut hadir anak Allahyarham Tun Abdullah, Tan Sri Kamaluddin; Reezal Merican; barisan pentadbiran kerajaan negeri serta pemimpin UMNO Pulau Pinang.
Tun Abdullah, Perdana Menteri kelima, merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas selama lapan penggal berturut-turut dari 1978 hingga 2013. Beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 14 April lepas.
Dalam pada itu, Chow berkata penamaan semula jalan sepanjang 5.45 kilometer dari Jalan Batu Kawan hingga Lingkaran Cassia Selatan bertujuan menghargai jasa dan sumbangan Allahyarham, selain melambangkan penghormatan daripada kerajaan negeri.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menamakan semula jalan tersebut pada 16 April, dan ia diharapkan menjadi ingatan kekal rakyat Pulau Pinang serta sebahagian daripada warisan negeri.
“Bandar Cassia merupakan cetusan idea Allahyarham yang membayangkannya sebagai sebuah bandar baharu di Batu Kawan, dan kini menjadi kenyataan apabila muncul sebagai destinasi strategik serta tumpuan pelabur luar, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Justeru, bandar ini sangat sesuai sebagai penghormatan kepada Allahyarham. Saya juga mencadangkan agar fasa baharu jalan dari Batu Kawan ke Nibong Tebal yang menghubungkan Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (BKIP 2) turut dinamakan Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.
Sementara itu, Reezal Merican berharap pembinaan Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi di tanah seluas kira-kira 0.8 hektar itu dapat direalisasikan bagi menempatkan barangan dan koleksi peribadi termasuk gambar milik Allahyarham.
Dalam pada itu, Kamaluddin mewakili keluarga Allahyarham Tun Abdullah, melahirkan rasa terharu atas usaha kerajaan negeri menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia dengan nama Allahyarham.
“Saya tersentuh hati dengan penghormatan ini. Saya juga gembira dengan cadangan pembangunan Galeri Tun Abdullah dan kami berterima kasih kepada kerajaan negeri dan rakan-rakan Allahyarham yang berusaha merealisasikan perkara ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
