Malaysia, Jepun perkukuh latihan maritim rentas sempadan

Mohd Zawawi (depan, lapan dari kiri) bergambar bersama anggota Maritim Malaysia dan kru kapal peronda Mizuho, di Pelabuhan Klang pada Isnin. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohd Zawawi (depan, lapan dari kiri) bergambar bersama anggota Maritim Malaysia dan kru kapal peronda Mizuho, di Pelabuhan Klang pada Isnin. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KLANG - Tangani rompakan di laut, jenayah rentas sempadan serta operasi mencari dan menyelamat (SAR) antara latihan yang ditekankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama Japan Coast Guard (JCG).

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, ini merupakan detik bersejarah apabila kapal peronda JCG, iaitu Mizuho, mengadakan lawatan bermula 23 hingga 27 Jun.

Menurutnya, ini bukan sekadar memperkasakan hubungan strategik yang sedia terjalin antara penguat kuasa kedua-dua negara, malah ia merupakan lambang keyakinan JCG terhadap Maritim Malaysia dalam memperkukuh kerjasama keselamatan maritim.

“Kedua-dua agensi bukan sahaja akan berkongsi pengalaman dan kepakaran, tetapi turut mencari kata sepakat demi keselamatan perairan serantau.

“Lawatan pertama kali kapal peronda Mizuho ini akan melibatkan beberapa latihan di perairan Selangor yang telah dirancang, antaranya penggunaan peralatan, SAR, penguatkuasaan undang-undang serta latihan mengekang jenayah rentas sempadan dan menangani kejadian rompakan di laut,” katanya dalam sidang akhbar di kapal Mizuho di Terminal Kapal Persiaran Klang (PKCT), di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Komandan Operasi JCG, Laksamana Madya Kanosue Hiroaki serta Duta Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki.

Tambah Mohd Zawawi, kerjasama dengan JCG telah terjalin sejak tahun 2006.

Mengulas mengenai kes rompakan di laut, katanya, terdapat insiden berskala kecil yang direkodkan di perairan Selat Melaka.

“Maritim Malaysia menangani kejadian ini dengan sewajarnya dan lain-lain perairan di Malaysia juga berada pada tahap terkawal,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kerjasama dua hala ini akan mengangkat hubungan maritim ke tahap strategik bagi memastikan rantau ini kekal bebas dan berdaulat untuk generasi akan datang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!