Malaysia komited perkukuh industri galvanisasi melalui ESG, teknologi hijau

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika merasmikan 13th Asia Pacific General Galvanizing Conference (APGGC) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Selasa, menegaskan komitmen Malaysia terhadap kelestarian industri galvanisasi sejajar dengan prinsip alam sekitar, sosial dan korporat (ESG), pendigitalan dan teknologi hijau.
Dalam ucapannya, beliau menyifatkan persidangan itu sebagai platform strategik yang menyatukan polisi, sains dan industri selari dengan dasar Industry4WRD dan aspirasi pembangunan mampan negara.
Kata Ahmad, persidangan bertemakan ‘Towards the Future of ESG in Galvanizing’, disifatkan sebagai bukti keseriusan kerajaan dalam menerapkan prinsip tadbir urus ESG dalam sektor pembinaan dan perindustrian.
“Prinsip ESG kini bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan untuk pertumbuhan bertanggungjawab dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya di hadapan lebih 300 delegasi tempatan dan antarabangsa.
Ahmad turut menggariskan beberapa cabaran utama industri galvanisasi di Malaysia, termasuk kadar penggunaan kapasiti industri yang hanya mencapai 60% daripada kapasiti terpasang 800,000 metrik tan setahun, serta kebergantungan terhadap bahan import yang menjejaskan keupayaan pengeluar tempatan.
Beliau mencadangkan beberapa langkah strategik bagi merancakkan sektor ini, antaranya: Galakan kepada penggunaan produk tempatan dalam projek infrastruktur awam, penyelarasan rantaian bekalan tempatan dan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bidang pendigitalan dan latihan kemahiran.

Dalam nada apresiasi, Ahmad memuji Galvanizers Association of Malaysia (GAM) atas kerjasama erat bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam memperkemas Standard Klausa 12.8 berkaitan galvanisasi dalam projek kerajaan, serta inisiatif latihan dan pensijilan seperti pemeriksaan Hot Dip Galvanizing selaras standard ISO 1461.
Selain itu, beliau turut mengumumkan kerjasama strategik antara GAM dan Kementerian Kerja Raya untuk mewujudkan spesifikasi standard kebangsaan bagi tetulang keluli bergalvani (galvanized REBAR), yang mampu meningkatkan ketahanan dan jangka hayat struktur konkrit sehingga lebih 100 tahun.
“Inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada kemampanan infrastruktur negara, malah menandakan satu anjakan dasar penting dalam industri pembinaan kita,” tambah beliau.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran tokoh industri termasuk Presiden APGGA, Madam Banu Kamal; Pengerusi GAM, Ahmad Latifi; dan Pengarah Eksekutif International Zinc Association, Andrew Green.
Persidangan ini dijangka merangsang kerjasama serantau dalam memperkukuh amalan galvanisasi yang lestari, berinovasi dan berimpak tinggi.
INFO PERSIDANGAN
- 28 negara
- 350 peserta
- 80 peratus peserta dari negara luar
- 20 peratus peserta Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
