Anak perempuan Rahmad Mega meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Rahmad Mega menerima berita duka apabila anak perempuannya, Nur Ara Elisya, 15, telah meninggal dunia.
Perkhabaran sedih itu dikongsikan sendiri oleh Rahmad menerusi laman Instagram miliknya.
"Assalamualaikum untuk semua warga Betong. Saya memohon maaf kerana tidak dapat hadir untuk malam ini.
"Saya sudah berada di Kuching dan pergi ke lokasi, tetapi mendapat berita bahawa anak saya baru sahaja menghembuskan nafas terakhir.
"Saya terpaksa bergegas pulang ke Semenanjung," katanya dalam hantaran tersebut.
Sementara itu, menurut Presiden Konsortium Industri Rakaman Malaysia (IRAMA) merangkap Timbalan Presiden Music Malaysia, Ayob Abd Majid, jenazah Allahyarham Nur Ara Elisya dijangka akan dibawa ke surau berdekatan Desaku Apartment, Kemensah, Kuala Lumpur untuk solat jenazah.
Rahmad pula dijangka tiba di Kuala Lumpur dari Kuching pada jam 9.30 malam ini.
Untuk makluman, Nur Ara Elisya menghidap sindrom Prader-Willi dan pernah menjalani pembedahan bagi meluruskan tulang belakang yang membengkok pada Februari lalu.
Allahyarham merupakan anak bongsu Rahmad bersama pelakon, Ainina Ahmad B.
Sama-sama kita doakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!