24 ADUN BN-PN Negeri Sembilan sepakat akur arahan pucuk pimpinan - Tok Mat

SEREMBAN - Seramai 24 daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan mencapai kata sepakat untuk akur dan patuh atas apa jua arahan pucuk pimpinan dan ketetapan parti.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketetapan itu dibuat mereka dalam perjumpaan khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun katanya, ADUN Juasseh yang juga Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim tidak hadir dalam perjumpaan berkenaan.
"Dua lagi ADUN yang tidak hadir berada di luar negara, namun mereka telah menyatakan sokongan penuh atas apa jua keputusan mesyuarat malam ini.
"Keputusan ini dibuat bagi memastikan segala kemelut politik yang sedang melanda dapat diselesaikan segera demi kestabilan dan kemakmuran rakyat Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Difahamkan, selain Ismail, dua lagi ADUN yang tidak hadir ialah Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting) dan Datuk Razali Abu Samah (Sikamat).
Mesyuarat khas berkenaan yang bermula jam 9 malam berlangsung lebih dua jam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
