Robert Pattinson sah bawa watak ikonik James Bond

AKTOR Britain, Robert Pattinson dipilih sebagai James Bond baharu bagi filem ke-26 francais 007, sekali gus menggantikan Daniel Craig yang meninggalkan watak ejen perisikan terkenal itu selepas filem No Time to Die pada 2021.
Pengumuman itu dibuat oleh Amazon MGM Studios pada Isnin lantas menamatkan spekulasi mengenai pelakon yang bakal menggalas watak ikonik berkenaan.
Pattinson, 40, menyifatkan peluang membawa watak James Bond sebagai satu penghormatan besar dan menganggapnya sebagai impian yang menjadi kenyataan.
“James Bond merupakan antara watak paling ikonik dalam sejarah perfileman. Kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menggalas watak 007 adalah satu penghormatan yang amat bermakna,” katanya.
Filem terbaharu yang masih belum diberikan judul rasmi itu bakal diarahkan oleh Denis Villeneuve yang terkenal menerusi filem Dune dan Arrival manakala skripnya ditulis oleh Steven Knight, pencipta siri televisyen popular Peaky Blinders.
Villeneuve menyambut baik pemilihan Pattinson dan menyifatkan pelakon itu memiliki ciri tersendiri untuk menghidupkan semula watak ejen rahsia Britain berkenaan.
Menurutnya, Pattinson mempunyai jiwa klasik James Bond selain mampu membawa pendekatan baharu kepada watak yang sudah sinonim dengan dunia perfileman selama lebih enam dekad.
Pattinson mula mencuri perhatian apabila membawakan watak Cedric Diggory dalam filem Harry Potter and the Goblet of Fire pada 2005 sebelum melonjak popular di peringkat antarabangsa sebagai Edward Cullen dalam siri The Twilight Saga. Beliau kemudian mengembangkan kerjaya lakonannya dengan membintangi filem terkenal seperti Tenet dan The Batman.
Pemilihan Pattinson menjadikannya pelakon ketujuh yang membawa watak James Bond dalam francais filem rasmi berkenaan selepas Sean Connery, George Lazenby, Roger Moore, Timothy Dalton, Pierce Brosnan dan Daniel Craig.
Francais James Bond mula diperkenalkan menerusi filem Dr No pada 1962 dan telah menjana kutipan lebih AS$7 bilion (RM29 bilion) di seluruh dunia.
Filem terbaharu itu juga menjadi penerbitan pertama francais berkenaan di bawah kawalan kreatif Amazon MGM Studios selepas syarikat tersebut mengambil alih kawalan kreatif francais itu menerusi usaha sama dengan pemegang hak terdahulu pada tahun lalu.
Penerbitan filem itu dijangka bermula pada 2027, namun tarikh penggambaran dan tayangan rasmi masih belum diumumkan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

