Penyanyi Sheqal meninggal dunia, YKAT saksi saat terakhir

Sheqal menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) jam 12.31 tengah hari pada Selasa.
Sheqal menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) jam 12.31 tengah hari pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN – [DIKEMAS KINI] Dunia seni tanah air kehilangan seorang lagi insan berbakat apabila penyanyi era 1980-an dan 90-an, Sheqal menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), jam 12.31 tengah hari, pada Selasa.

Berita pemergian Allahyarham disahkan isterinya, Normah Mohd Yusoff, 58, ketika dihubungi media.

Allahyarham dimasukkan ke HTJ pada 4 Jun lalu dan ditidurkan dua hari kemudian akibat komplikasi kesihatan.

Pemilik nama sebenarnya Shaharin Salehuddin, 60, pernah mencetuskan fenomena tersendiri menerusi lagu-lagu berentak pop tradisional dan nusantara seperti Gadis Sentimental dan Memori Luka, serta dikenali dengan gaya nyanyian penuh penghayatan.

Sheqal meninggalkan seorang isteri dan empat orang cahaya mata iaitu dua anak lelaki, Putera Ammar dan Putera Al Kasyah hasil perkahwinan terdahulu bersama pelakon Raja Ema, serta dua anak Muhammad Fatullah Shaharim, 21, dan Ummu Hani, 20, daripada perkahwinan keduanya bersama Normah.

Sementara itu, menurut kenyataan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), pihak mereka dimaklumkan mengenai pemergian Allahyarham sebaik sahaja tiba di Unit Rawatan Rapi (ICU) Anggerik, HTJ.

“Ketika itu, arwah menghembuskan nafas terakhir disaksikan oleh Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave bersama isteri dan kedua-dua anak Allahyarham.

“Kita baru sahaja kehilangan seorang insan seni yang cukup dikenali dengan genre muzik nusantara dan pop tradisional di era 1990-an,” ujar kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan tersebut, jenazah Allahyarham dijangka akan dibawa pulang dan diuruskan di kampung halamannya di Raub, Pahang.

Dalam pada itu, pihak YKAT turut menyalurkan sumbangan kepada keluarga bagi meringankan urusan pengebumian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!