Selepas 15 tahun menanti, Achey dan isteri bakal timang zuriat sendiri

PENANTIAN selama 15 tahun untuk memiliki zuriat sendiri akhirnya membuahkan hasil apabila pelawak Achey dan isterinya, Nor Hasanah Yahaya bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi.
Berita gembira itu dikongsikan Hasanah menerusi Instagram yang menyifatkan kehamilan berkenaan sebagai anugerah paling bermakna selepas sekian lama mereka berusaha mendapatkan zuriat.
Menurut Hasanah, pelbagai ikhtiar dan doa telah dilakukan sepanjang tempoh perkahwinan mereka sebelum akhirnya menerima khabar yang cukup dinantikan itu.
“Sehinggalah ALLAH hadirkan satu berita yang selama ini kami impikan. Alhamdulillah, kami bakal menimang cahaya mata.
“Akhirnya ada nyawa kecil yang sedang membesar dalam rahim ini. Hadiah terindah daripada ALLAH yang tidak mampu kami ungkapkan dengan kata-kata.
“Terima kasih Ya ALLAH kerana tidak pernah mensia-siakan doa hamba-Mu dan terima kasih kepada Dr. Haris Hamzah serta semua yang banyak memberi semangat kepada kami,” katanya.
Mengimbas perjalanan mendapatkan zuriat, Hasanah atau lebih mesra disapa Anne mengakui tempoh 15 tahun bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilalui.
Bagaimanapun, pasangan itu tidak pernah berputus asa dan terus meletakkan kepercayaan bahawa setiap ketentuan ALLAH SWT mempunyai hikmah tersendiri.
“15 tahun menanti, akhirnya ALLAH izinkan. Bukan sehari dua kami menunggu.
“Bukan setahun dua kami berharap tetapi selama 15 tahun, kami menyimpan impian yang sama.
“Ada doa yang tidak pernah putus walaupun berkali-kali diuji. Perjalanan ini bukan mudah, tetapi kami percaya setiap yang ALLAH aturkan pasti ada hikmahnya,” katanya lagi.
Sebelum ini, Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah, 40, mendedahkan isterinya menjalani prosedur persenyawaan in-vitro (IVF) buat kali kedua bagi mendapatkan zuriat.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2011 itu mengambil seorang anak angkat, Tiara, pada 2018.
Empat tahun kemudian, mereka mencuba rawatan IVF buat kali pertama, namun usaha berkenaan tidak membuahkan hasil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
