Masalah kontraktor antara punca projek perumahan terbengkalai

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS – Kelemahan kontraktor dikenal pasti sebagai antara punca utama banyak projek perumahan terbengkalai di Pahang, sekali gus menjejaskan pembeli yang terlibat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, situasi tersebut turut mencemarkan imej agensi pelaksana kerajaan negeri apabila rakyat menyalahkan mereka atas kelewatan yang sebenarnya berpunca daripada sikap tidak profesional kontraktor.

“Sebahagian besar projek yang terbengkalai adalah disebabkan oleh pihak kontraktor, dan ini menyusahkan rakyat.

“Pembeli menyalahkan wakil rakyat kerana rumah mereka tidak siap, sedangkan yang menyebabkan ia terbengkalai ialah pihak kontraktor, bukan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Tanah Rata dan Majlis Pecah Tanah PR1MA Pahang Ringlet di perkarangan Perumahan PR1MA Pahang Tanah Rata, di sini, pada Ahad.

Ujarnya, kontraktor yang berjaya menyiapkan projek perumahan tepat pada masa atau lebih awal daripada jadual akan diberi keutamaan untuk melaksanakan projek baharu di Pahang.

“Kontraktor yang menyiapkan rumah mengikut tempoh ditetapkan harus dihargai dan diberi keutamaan dalam projek-projek lain.

“Namun, keutamaan itu bukan bermaksud projek diberi terus kepada mereka, sebaliknya masih perlu melalui proses penilaian seperti biasa,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, peluang tetap akan diberikan kepada kontraktor asal untuk menyiapkan projek masing-masing.

“Setiap kelewatan perlu disertakan dengan alasan yang munasabah. Kita juga harus mendengar sebab-sebab projek terbengkalai dan menilai kewajaran alasan yang dikemukakan.

“Jika alasan mereka munasabah, kita akan pertimbangkan untuk melanjutkan tempoh projek,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 8,418 unit rumah PR1MA melibatkan 46 projek bernilai RM1.26 bilion telah disiapkan dan diserahkan kepada pemilik di seluruh negeri.

“Bagi projek di Tanah Rata, pangsapuri setinggi 10 tingkat yang mengandungi 112 unit berjaya disiapkan meskipun berdepan cabaran pandemik Covid-19.

“Saya ucapkan tahniah kepada pihak kontraktor dan LPHP yang berjaya menyiapkan rumah ini seperti dijadualkan. Hari ini kita serahkan kunci kepada pembeli,” tambah beliau.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!