Ejek- mengejek punca buli, tujuh pelajar terlibat dikenal pasti - Polis

GEORGE TOWN - Polis telah mengenal pasti semua pelajar yang terlibat dalam kes buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintenden Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata, hasil siasatan awal, seramai tujuh pelajar terlibat dalam kes berkenaan yang rakaman videonya telah tular di media sosial.
Menurutnya, kes tersebut berlaku pada Jun tahun lalu.
"Kita sudah kenal pasti kesemua pelajar terlibat termasuk mangsa yang berusia 15 tahun.
"Bagaimanapun, polis belum mengambil sebarang keterangan setakat ini daripada mana-mana pihak termasuk tujuh pelajar berkenaan.
"Polis juga tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau menambah, siasatan awal juga mendapati, punca kejadian adalah bergurau kasar dan ejek mengejek sesama sendiri.
"Setakat ini tiada tindakan diambil sebab kes masih 'pending', kita akan tunggu arahan seterusnya.
"Kita pun tidak tahu lagi akan buka kertas siasatan apa, sama ada mengikut Akta Kanak-Kanak atau Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
"Pihak Mara sendiri pun akan buat siasatan dalam, jadi kita tunggu dulu," katanya.
Jelas beliau lagi, sekiranya kertas siasatan dibuka, polis akan memanggil mereka yang berkaitan termasuk tujuh pelajar tersebut.
"Setakat ini kita hanya berhubung dengan pihak sekolah untuk mengetahui punca kejadian.
"Jika ada perkembangan lanjut, kita akan keluarkan kenyataan rasmi nanti," tambahnya.
Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi 1 minit 32 saat memaparkan dua remaja lelaki sedang menindih seorang remaja di atas katil.
Salah seorang daripada mereka turut dilihat memukul badan mangsa menggunakan objek disyaki tali pinggang.
Susulan daripada itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelajar yang disyaki pelaku buli di asrama MRSM itu sudah digantung persekolahan masing-masing.
Kata beliau, indakan itu diambil bagi memastikan pelajar-pelajar terbabit tidak mengganggu proses siasatan, selain memberikan mesej jelas pihaknya tiada kompromi dalam isu buli.
Beliau menambah, tindakan tegas akan diambil sekiranya kejadian dalam rakaman video berkenaan adalah perbuatan buli yang memang berlaku di institusi pendidikan Mara itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

