Selangor tegas isu 3R, tiada kompromi gugat perpaduan - Rizam

Rizam (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima semasa Majlis Perasmian Penutup Santuni Madani dan Misi Jelajah Peduli Ummah di Masjid As-Syukriah Parit 8 Gambut, Sungai Panjang pada Ahad.
Rizam (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima semasa Majlis Perasmian Penutup Santuni Madani dan Misi Jelajah Peduli Ummah di Masjid As-Syukriah Parit 8 Gambut, Sungai Panjang pada Ahad.
A
A
A

SABAK BERNAM – Kerajaan Selangor tidak akan berkompromi dalam isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) yang berpotensi mengganggu-gugat keharmonian dan perpaduan rakyat di negeri ini.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, sebagai sebuah negeri yang menjadi paksi negara dengan kepadatan penduduk dan kepelbagaian etnik, sebarang isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama perlu ditangani dengan tegas serta bijaksana.

“Selangor sudah pasti mengambil berat isu 3R kerana negeri ini mempunyai keunikan demografi masyarakat majmuk.

“Sebab itu kita banyak menjalin kerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara menerusi pelbagai program kesedaran dan integrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Santuni Madani dan Misi Jelajah Peduli Ummah di Masjid As-Syukriah, Parit 8 Gambut, Sungai Panjang, di sini pada Ahad.

Rizam memaklumkan, antara inisiatif yang giat dilaksanakan termasuk menggerakkan peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT), khususnya di kawasan bandar, dalam membentuk semangat cintakan negara dan perpaduan antara kaum.

“Kita susun pelbagai program di bawah KRT dan kesatuan penduduk untuk kukuhkan semangat perpaduan.

“Usaha ini akan terus diperkasa dengan kerjasama yang lebih erat antara pemimpin komuniti,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Rizam berkata, setakat ini tiada aduan rasmi berhubung isu 3R diterima pihaknya, sebaliknya hanya aduan kecil berkaitan masalah masyarakat yang dapat diselesaikan di peringkat tempatan.

“Secara umumnya tiada aduan besar kerana kebanyakannya melibatkan isu kecil yang dapat ditangani terus, jadi tidak sampai ke tahap perlu dirujuk kepada pihak berkuasa,” katanya.

Tegas beliau, pendirian kerajaan negeri jelas – tidak akan bertolak ansur dalam isu 3R kerana ia mampu mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

“Kita perlu menjadi contoh kepada negeri lain bagaimana rakyat pelbagai kaum boleh hidup dalam harmoni.

“Kita negara majmuk yang mampu membina perpaduan kukuh sekiranya semua pihak memainkan peranan,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Rizam berkata, program ‘Satu Pemimpin Satu Kampung’ di bawah inisiatif Madani anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) disifatkan sebagai pendekatan luar biasa dalam merapatkan jurang antara rakyat dan agensi kerajaan.

Beliau berkata, masyarakat tidak perlu lagi pergi ke pejabat kerajaan untuk mendapatkan perkhidmatan, sebaliknya agensi-agensi kerajaan turun padang ke kampung bagi mendekati masyarakat secara langsung.

“Mereka bukan sahaja memberi perkhidmatan, tetapi juga menyelami sendiri permasalahan setempat,” katanya.

Menurut beliau, program selama tiga hari dua malam itu padat dengan pelbagai aktiviti bermanfaat merangkumi program kesedaran, sukaneka, ziarah dan pameran agensi.

“Saya kira ini antara program terbaik yang perlu dikekalkan kerana bukan sahaja mengukuhkan hubungan kerajaan dengan rakyat, malah turut memberi pendedahan kepada masyarakat terhadap fungsi agensi kerajaan,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!