Kes Covid-19 di Selangor naik 36 peratus, tiada kematian direkodkan - Exco

Kes Covid-19 di Selangor meningkat 36 peratus pada ME 24/2025. Foto hiasan
Kes Covid-19 di Selangor meningkat 36 peratus pada ME 24/2025. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Selangor mencatatkan peningkatan sebanyak 36 peratus kepada 1,082 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 24/2025 berbanding 795 kes pada minggu sebelumnya.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, bagaimanapun jumlah keseluruhan kes itu masih berada di bawah paras amaran yang ditetapkan berdasarkan trend tahun-tahun sebelumnya dari 2022 hingga 2024.

Menurutnya, tiada kematian disahkan berpunca daripada Covid-19 di Selangor sepanjang tahun 2025 setakat ini.

“Sehingga kini, sebanyak 7,582 kes Covid-19 telah direkodkan bagi ME 1 hingga ME 24 pada tahun 2025 berbanding 18,231 kes dalam tempoh sama pada 2024, yang menunjukkan penurunan ketara.

“Daerah Petaling terus mencatatkan jumlah kes tertinggi, diikuti Hulu Langat dan Klang, tetapi terdapat penurunan kadar insiden (IR) di semua daerah jika dibandingkan dengan tahun 2024.

“Sebahagian besar kes melibatkan golongan dewasa berumur 31 hingga 59 tahun sebanyak 44 peratus, diikuti belia 18 hingga 30 tahun (27 peratus) dan kanak-kanak berumur 1 hingga 6 tahun (9 peratus),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Jamaliah, seramai 353 pesakit telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala pada ME 24, seorang pesakit hamil yang turut dijangkiti demam denggi telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bagaimanapun, menurutnya, keadaan pesakit itu dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di wad biasa.

Dalam pada itu, Jamaliah turut meminta orang ramai agar terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan terus memantau situasi ini dan melaksanakan tindakan perlu bagi memastikan kesejahteraan dan kesihatan rakyat terpelihara,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!