Rayuan Syed Saddiq, kes tanah Semantan antara menarik minggu depan

Syed Saddiq (kiri) dan Rosmah
Syed Saddiq (kiri) dan Rosmah
A
A
A

PUTRAJAYA – Dua keputusan rayuan salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta kes pemindahan hak milik 263.272 ekar tanah di Duta Enclave kepada Semantan Estate Sdn Bhd menjadi antara tujuh kes menarik minggu depan.

Ia termasuk kes berprofil tinggi iaitu membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin, pertikaian tanah UMNO dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas serta dua kes selebriti, Datin Vivy Yusof dan Along Cham.

Bagi kes Syed Saddiq, bekas Menteri Belia dan Sukan itu merayu supaya Mahkamah Rayuan di sini mengetepikan sabitan bersalah yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2024, yang menjatuhinya hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.

Ia membabitkan empat kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan AMLA berkaitan dana Armada.

Berdasarkan sistem kehakiman, keputusan akan dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin pada Rabu ini.

Ini merupakan peringkat kedua kes berkenaan yang mana sekiranya mahkamah mengekalkan sabitan dan hukuman, anak kelahiran Johor Bahru itu berusia 33 tahun itu masih boleh membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, jika keputusan majoriti mendapati Syed Saddiq tidak bersalah, maka dia akan dibebaskan serta-merta, sementara pihak pendakwaan boleh merayu keputusan terbabit.

Serentak pada hari sama, mahkamah sama dijadualkan untuk mendengar rayuan Rosmah untuk menggugurkan Hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan daripada tiga kes rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Beliau (kini Hakim Mahkamah Rayuan) telah mensabitkan Rosmah, 74, bersalah bagi kes tersebut, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 1 September 2022 lalu.

Susulan itu, isteri bekas Perdana Menteri terbabit, dihukum penjara 10 tahun dan denda sebanyak RM970 juta.

Permohonan untuk menggugurkan Hakim, Mohamed Zaini dibuat dengan alasan ‘berlaku kebocoran penghakiman kes’, dua hari sebelum keputusan diumumkan.

Sementara itu, pada Selasa ini, Mahkamah Rayuan akan menyampaikan keputusan berhubung rayuan kerajaan mengenai pemindahan hak milik 263.272 ekar tanah di Duta Enclave kepada Semantan Estate.

Pada 20 Februari lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Azimah Omar dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, menangguhkan keputusan selepas mendengar hujahan daripada semua pihak yang terlibat.

Kerajaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Ogos tahun lalu yang mengarahkan pemindahan hak milik tanah kepada Semantan Estate.

Mahkamah sebelum ini memutuskan berpihak kepada saman pemula Semantan Estate terhadap Pendaftar Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Semantan Estate turut merayu terhadap satu lagi keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober 2021 yang menolak permohonan semakan kehakiman syarikat itu untuk mendapatkan semula tanah berkenaan.

Syarikat itu juga merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang kemudiannya membenarkan permohonan Pendaftar Tanah bagi perintah penangguhan pemindahan hak milik tanah kepada Semantan Estate.

Tanah yang dipertikaikan terletak di kawasan strategik Jalan Duta, dikenali sebagai Duta Enclave, yang menempatkan beberapa bangunan kerajaan, termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri serta Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Selain itu, Mahkamah Persekutuan menetapkan prosiding pendengaran permohonan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mendapatkan kebenaran mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan bayaran bon Zuraida susulan tindakan melanggar syarat bon parti, pada Selasa depan.

Kes itu susulan saman yang difailkan oleh bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail bagi pihak parti politik berkenaan bagi menuntut RM10 juta daripada Zuraida atas dakwaan melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti.

Pada 23 Jun 2023, Mahkamah Tinggi telah mengarahkan Zuraida, yang juga bekas Ahli Parlimen Ampang, membayar RM10 juta kepada PKR selepas Hakim Datuk Akhtar Tahir mendapati bon itu adalah kontrak yang sah dan mengikat.

Bagaimanapun pada 11 Disember 2024, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Zuraida melanggar syarat bon parti namun mengurangkan jumlah bayaran daripada RM10 juta kepada RM100,000 atas alasan jumlah itu adalah tidak munasabah dan ini menyebabkan PKR memfailkan permohonan untuk merayu.

Zuraida dalam pembelaannya mendakwa beliau dipaksa menandatangani bon dengan PKR untuk menjadi calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Sementara di Mahkamah Tinggi, pendengaran saman pemula difailkan UMNO bagi mendapatkan pengisytiharan supaya satu tanah di ibu kota berkeluasan 9,723 meter persegi dipindah milik kepada parti politik berkenaan, akan didengar pada Selasa depan, di hadapan Hakim, Roz Mawar Rozain.

Saman itu yang difailkan oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan pada 6 Mac lalu, menamakan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai defendan.

Menerusi saman itu, UMNO memohon perintah bahawa pemilikan geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur yang didaftar atas nama pemegang-pemegang amanah dipindahkan kepada UMNO.

Mereka ialah Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid, Tun Musa Hitam dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada Selasa ini, mahkamah akan mendengar permohonan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas (secara dalam talian) supaya Hakim, Roz Mawar Rozain menarik diri daripada mendengar saman yang difailkan oleh Tan Sri Shahrir Ab Samad dan tiga lagi berhubung pendakwaan berniat jahat.

Permohonan itu difailkan menerusi Tetuan Tommy Thomas pada 26 Ogos tahun lalu, Tommy mendakwa hakim itu telah membuat banyak dapatan tidak berasas serta bercanggah dengan tuntutan saman itu dan keterangan yang dikemukakan di hadapan mahkamah.

Pada 3 Julai 2024, Hakim, Roz Mawar menolak permohonan Tommy untuk membatalkan saman itu dan kes ditetapkan bagi pendengaran penuh selama tujuh hari iaitu dari 9 hingga 12 Mac dan 27 hingga 29 April 2026.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu memfailkan saman tersebut pada Disember 2023, menamakan Tommy, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, SPRM dan kerajaan sebagai defendan.

Saman Shahrir adalah berkaitan satu cek RM1 juta yang diterima beliau daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tujuan kerja-kerja pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.

Tommy yang menjadi Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020, dalam afidavitnya menafikan dakwaan Shahrir terhadap beliau termasuk salah guna kuasa dan menyifatkan ia sebagai ‘tidak boleh dipertahankan’.

Pada 5 Januari 2023, Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin membebaskan Shahrir daripada pertuduhan gagal mengisytihar pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Dua lagi kes membabitkan selebriti tanah air turut menarik perhatian ramai, iaitu Vivy dan kes dadah dihadapi Along.

Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, sebutan kes membabitkan Vivy yang juga Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar ditetapkan pada Isnin ini.

Ia membabitkan kes pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, pada tujuh tahun lalu.

Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan Fadzarudin, 37, didakwa sebagai ejen iaitu Pengarah FashionValet, diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB, melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta dari akaun bank milik syarikat fesyen e-dagang terkemuka ini, ke syarikat 30 Maple Sdn Bhd, tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarahnya.

Sementara bagi tiga kes dadah dihadapi Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, Mahkamah Majistret Sepang menetapkan Rabu depan untuk sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, pelawak itu didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 1.49 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya, pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa ada dalam milikannya dadah berbahaya jenis sama seberat 49.61 gram di lokasi, masa dan tarikh serupa.

Sementara bagi pertuduhan pindaan ketiga, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis ‘11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' ke dalam badan, di lokasi sama, pada jam 10 malam, tarikh sama, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!