Akta Rampas Rumah lebih tepat - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR - Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang bakal digubal kerajaan dikhuatiri menjadi pengkhianatan terbesar kepada golongan susah yang tinggal di kawasan bandar apabila mereka berisiko 'diusir' keluar.
Perkara berkenaan disuarakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) yang secara sinis mahu kerajaan menamakan semula akta tersebut sebagai Akta Rampas Rumah.
Menurutnya, dengan adanya Akta PSB, kerajaan sekali gus menurunkan nilai ambang persetujuan daripada 100 peratus kepada 80 peratus.
"Ini adalah pengkhianatan terbesar pada golongan susah yang tinggal di kawasan bandar. Saya tak nak undang-undang ini dipanggil (sebagai) Akta Pembaharuan Semula Bandar, saya rasa lebih tepat Akta Rampas Rumah.
"Sebelum ini, jika pihak pemaju (atau) syarikat swasta ingin ambil alih secara paksa mana-mana PPR, flat (atau) kawasan terbiar, mereka perlu berunding dengan setiap satu pemilik (kediaman).
"Tetapi dengan adanya akta ini, kerajaan sekali gus telahpun menurunkan nilai ambang persetujuan daripada 100 peratus kepada 80 peratus.
"Maksudnya, jika golongan majoriti bersetuju (maka) golongan minoriti akan terseksa kerana rumah mereka dirampas oleh golongan mahakaya," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa.
Sebelum ini, Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) telah bersetuju untuk menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar yang akan mengutamakan hak pemilik asal dan memastikan kemampanan dalam pembangunan bandar.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, akta itu perlu digubal bagi menangani risiko keusangan dan kemerosotan kawasan bandar.
Kerajaan juga memberi jaminan bahawa penggubalan berkenaan mampu memastikan pembangunan yang dilaksanakan adalah lebih terancang dan inklusif dengan prinsip' leave no one behind' termasuk dalam melindungi hak pemilik hartanah yang terkesan.
Hak pemilik hartanah yang terlibat dengan pelaksanaan projek PSB juga akan dilindungi, di mana kerajaan akan berunding dengan pemilik bersama-sama dengan badan pelaksana dan pemaju yang dilantik.
Bagaimanapun Syed Saddiq mendakwa, undang-undang berkenaan dilihat lebih mengutamakan pemaju daripada rakyat susah.
Ini kerana, pemaju yang mengambil alih mana-mana flat berkemungkinan akan bangunkan semula kawasan dengan membina kondominium mewah yang hanya mampu dihuni oleh golongan kaya dan warga asing.
Jelas beliau, majoriti yang menduduki Program Perumahan Rakyat (PPR) dan flat adalah golongan susah, kumpulan B40 dan M40 yang kebanyakkan penduduknya merupakan terdiri dari kaum Melayu serta India.
"Mereka ini adalah golongan yang memilih untuk tinggal di bandar. Besar kemungkinan ini adalah rumah turun temurun diwarisi daripada ibu ayahnya, besar kemungkinan mereka bekerja di kawasan berdekatan. Akses kepada kemudahan pengangkutan awam.
"Bandar dikenali sebagai pusat pekerjaan, pusat inovatif, pusat kreatif. Tapi golongan susah ini akan diusir keluar bandar," dakwanya.
Tambah Syed Saddiq, sekiranya berlaku, ia jelas bertentangan dengan prinsip diperjuangkan sebelum ini.
“Bayangkan apabila mereka (kerajaan) berada di kerusi pembangkang, mereka bermati-matian mempertahankan golongan susah, Melayu di kawasan bandar (dan) di Kuala Lumpur.
“Masa itu pemaju perlu ada persetujuan 100 peratus tetapi kini mereka pula yang turunkan kepada 80 peratus. Saya tidak boleh bayang bagaimana mereka nak menyembunyikan muka dan prinsip mereka kerana realitinya mereka usir (orang susah),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
