RMK-13: Perak cadang jalan baharu ganti JRTB, naik taraf Hospital Gerik

Saarani (tiga dari kiri) bersama pengunjung yang hadir ke Majlis Penutup Minggu Latihan Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh di Ipoh pada Sabtu.
Saarani (tiga dari kiri) bersama pengunjung yang hadir ke Majlis Penutup Minggu Latihan Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh di Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

IPOH – Kerajaan Perak mengharapkan cadangan pembinaan laluan baharu bagi menggantikan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) yang sudah uzur, menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan, dapat dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan tersebut turut merangkumi usaha menaik taraf Hospital Gerik yang terletak di laluan berkenaan.

Menurutnya, hasrat tersebut telah pun disuarakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika Program Madani Rakyat yang diadakan di Lumut minggu lalu.

"Semasa saya duduk bersama-sama dengan Perdana Menteri, saya sempat berbincang dan nyatakan kepada beliau berkaitan keperluan meneliti perkara ini. Sudah tentu beliau juga menyebut kosnya sangat tinggi dan kita faham. Tetapi sekurang-kurangnya kerajaan negeri telah kemukakan pandangan kami.

"Seperti saya sebutkan tempoh hari, dua exco kerajaan negeri telah diberikan tanggungjawab untuk menyediakan permohonan mengenai perkara tersebut sebelum diserahkan kepada kerajaan pusat," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutup Minggu Latihan Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim, serta Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof.

Saarani berkata, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, akan berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk meneliti keperluan menaik taraf JRTB.

Sementara itu, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A. Sivanesan, diarahkan untuk menyiapkan kertas cadangan berkaitan menaik taraf Hospital Gerik.

Artikel Berkaitan:

"Bagi JRTB, pada pandangan kita, tidak mencukupi hanya dengan kerja tampalan kerana usianya sudah mencecah 40 tahun. Sepatutnya, kerajaan pusat melalui JKR melihat keperluan pelebaran jajaran dan menaik taraf secara menyeluruh, bukan sekadar tampal, tetapi membina semula lebuh raya tersebut.

"Kekerapan kemalangan di JRTB menjadikan Hospital Gerik tumpuan utama, dan perlu dilengkapi dengan kemudahan serta pakar mencukupi. Jika tidak, mangsa terpaksa dibawa ke Taiping atau Ipoh yang jaraknya sangat jauh," katanya.

Pada 11 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan bahawa kerajaan Perak akan mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan Persekutuan berhubung keperluan menambah baik laluan JRTB termasuk mempertimbangkan pembinaan jajaran baharu, sebagaimana dibincangkan dalam mesyuarat mingguan exco negeri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!