Tiada lagi meja kayu berbumbung kanvas, FAMA naik taraf pasar tamu di Sabah

SOOK – Kira-kira 5,000 penjaja di pasar tamu seluruh Sabah kini dapat menjalankan perniagaan dalam suasana yang lebih selesa susulan kerja penaiktarafan 48 pasar tamu oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, projek penaiktarafan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM15.6 juta daripada kerajaan Persekutuan melalui FAMA.
"Sebelum ini, peniaga hanya menggunakan meja kayu dan memasang kanvas sebagai perlindungan daripada panas terik dan hujan.
“Kini, pasar tamu yang dinaik taraf menyediakan ruang niaga yang lebih kondusif dan sistematik kepada usahawan tempatan, sekali gus menjadi tarikan ekonomi mingguan yang berpotensi untuk komuniti setempat," katanya selepas merasmikan Pasar Tamu Rancangan Belia Tiulon di Sook, pada Ahad.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, Pasar Tamu Rancangan Belia Sook mula diwujudkan pada tahun 2021 dengan hanya lapan peniaga dan kini berkembang kepada 40 peniaga tetap.
“Saya telah mengenal pasti potensi besar kawasan ini untuk pembangunan, terutamanya dengan pelbagai projek yang telah dan sedang dilaksanakan.
“Penaiktarafan pasar yang bermula pada 25 September 2024 telah siap sepenuhnya pada 2 April 2025. Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif FAMA bagi memperkukuh jaringan pemasaran hasil tani luar bandar serta menyokong Dasar Jaminan Makanan Negara," ujarnya.
Menurut beliau, langkah tersebut merupakan antara usaha berterusan kerajaan dalam memperkasa sektor pemasaran hasil pertanian luar bandar, khususnya bagi menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada usahawan tani.
"Projek ini dilaksanakan secara berperingkat dengan keutamaan diberikan kepada pasar tamu yang dikenal pasti memerlukan pembaikan segera atau yang tidak lagi sesuai digunakan.
“Pelaksanaan projek ini dijangka mampu meningkatkan daya saing produk agro tempatan, selain merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap penaiktarafan berkenaan dapat menggalakkan semangat keusahawanan serta memelihara budaya pasar tradisional yang menjadi identiti masyarakat luar bandar.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri; Pengarah FAMA Sabah dan Labuan, Sarman Sidno; serta Pengarah Bahagian Institusi Pasaran FAMA, Mohd Shahrizan Mansor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!