Pulau Pinang cukup bekalan tanah industri untuk 10 hingga 15 tahun

Kon Yeow (tiga dari kiri) menerima Laporan Peluncuran Pelan Induk Perindustrian Pulau Pinang 2030 pada Jumaat.
Kon Yeow (tiga dari kiri) menerima Laporan Peluncuran Pelan Induk Perindustrian Pulau Pinang 2030 pada Jumaat.
A
A
A

GEORGE TOWN – Pulau Pinang mempunyai bekalan tanah industri yang mencukupi bagi menampung keperluan pelaburan semasa dan masa hadapan bagi tempoh antara 10 hingga 15 tahun.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tanah industri bukan sahaja merujuk kepada kawasan baharu, malah termasuk tanah yang terlibat dengan kerja-kerja penambakan, pelaksanaan proses permintaan bagi cadangan (RFP) dan pelbagai peringkat pembangunan sebelum dapat digunakan sepenuhnya.

Menurutnya, walaupun terdapat dakwaan bahawa Pulau Pinang mengalami kekurangan tanah industri, namun keadaan sebenar menunjukkan masih terdapat simpanan tanah yang boleh dimajukan mengikut pelan pembangunan sedia ada.

“Isu tanah (perindustrian) bukanlah satu masalah besar. Permintaan tanah untuk industri juga bukanlah tinggi sehingga mencecah ratusan ekar setiap tahun. Secara purata, hanya sekitar 40.47 hektar diperlukan setahun.

“Sebagai contoh, kawasan seluas 809.4 hektar mungkin mengambil masa panjang untuk dimanfaatkan sepenuhnya. Taman Perindustrian Batu Kawan, yang berkeluasan lebih 404.7 hektar, pun mengambil masa lebih 15 tahun untuk dimajukan sejak 2008,” katanya selepas merasmikan Majlis Peluncuran Pelan Induk Perindustrian Pulau Pinang 2030, di sini, pada Jumaat.

Tambah beliau, pelaburan juga tidak semestinya memerlukan tanah baharu.

“Ada pelaburan yang merupakan pelaburan semula (reinvestment) oleh kilang sedia ada bagi menambah fasiliti di tapak yang telah dimiliki.

“Terdapat juga pelaburan dari luar negara, khususnya dari China, yang mahu memulakan operasi dengan segera. Mereka cenderung membeli kilang sedia ada yang tidak lagi digunakan, atau menyewa serta memajaknya daripada pelabur terdahulu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa yang sama, Kon Yeow berkata, pihak swasta turut aktif memajukan kilang-kilang baharu untuk dijual atau disewakan kepada pelabur.

“Jadi, pelaburan tidak semestinya memerlukan tanah baharu. Pelbagai bentuk pelaburan lain turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi negeri,” katanya.

Mengulas soal pulangan daripada penjualan tanah, beliau menyifatkan hasil urus niaga tersebut sebagai minimum.

“Yang lebih signifikan ialah nilai pelaburan itu sendiri, namun jumlah tersebut sukar dijangka,” jelas beliau.

Sementara itu, berhubung pelancaran Pelan Induk Perindustrian Negeri Pulau Pinang 2030, Kon Yeow menyifatkannya sebagai langkah strategik untuk meneruskan transformasi sektor perindustrian negeri.

Katanya, pelan tersebut bertujuan mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia.

“Pelan induk ini turut mengambil kira pembangunan infrastruktur penting seperti projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), serta pembangunan hab teknologi hijau dan pintar untuk industri Elektrikal dan Elektronik (E&E),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!