Konsert Rockology Pulau Pinang ditunda, penganjur mohon maaf

SEMANGAT peminat rock tanah air yang tidak sabar mahu menyaksikan konsert penuh tenaga di utara sedikit suram apabila penganjur mengumumkan penangguhan Rockology Concert Tour 2025 – North Chapter.
Konsert tersebut sepatutnya berlangsung pada 21 Jun ini di Midtown PERDA, Pulau Pinang.
Keputusan itu terpaksa diambil oleh pihak penganjur, RPM Events Sdn Bhd berikutan isu teknikal yang tidak dapat dielakkan.
Meskipun kecewa, para peminat diminta bersabar dan terus memberikan sokongan kerana pihak penganjur memberi jaminan konsert tersebut akan dianjurkan semula pada tarikh baharu yang bakal diumumkan kelak.
“Kami memohon maaf atas segala kesulitan dan menghargai sokongan tidak berbelah bahagi para peminat,” ujar pihak penganjur dalam satu kenyataan rasmi.
Namun begitu, aura Rockology tetap menyala apabila konsert seterusnya di EduCity Sports Complex, Johor yang dijadualkan pada 5 Julai 2025 akan diteruskan seperti biasa.
“Segala persiapan sedang berjalan lancar dan kami tidak sabar menggegarkan selatan tanah air bersama barisan legenda rock seperti Datuk Awie dan Search (Kid Din),” tambah kenyataan itu lagi.
Peminat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh terus menghubungi pihak penganjur menerusi e-mel nasya@rpmerah.com.my.
Rockology Concert Tour 2025 sebelum ini dijadulakan berlangsung di dua negeri iaitu Midtown Perda, Pulau Pinang pada 21 Jun depan bagi North Chapter, diikuti EduCity Sports Complex, Johor pada 5 Julai bagi South Chapter.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!