Lebih 70,000 pemilik petak strata di Pulau Pinang berisiko hilang hak milik

GEORGETOWN – Lebih 70,000 pemilik petak strata di Pulau Pinang berdepan risiko kehilangan hak milik hartanah masing-masing susulan tunggakan cukai petak yang tinggi sejak cukai itu diperkenalkan pada 2019.
Menurut laporan terkini oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pulau Pinang bertarikh 1 Jun 2025, jumlah tunggakan keseluruhan kini mencecah RM12.5 juta, dengan daerah Timur Laut mencatatkan jumlah tertinggi iaitu melibatkan 32,000 akaun petak strata.
Pengarah PTG Pulau Pinang, Dr Faizal Kamarudin berkata, kebanyakan pemilik masih gagal melunaskan tunggakan walaupun cukai petak telah dilaksanakan lebih lima tahun lalu.
“Jika bayaran tidak dibuat dengan segera, Notis Tuntutan Tunggakan Cukai Petak melalui Borang 11 di bawah Akta Hakmilik Strata 1985 akan dikeluarkan kepada semua pemilik terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, pemilik yang masih gagal melunaskan bayaran dalam tempoh tiga bulan selepas notis itu dikeluarkan boleh dikenakan tindakan perampasan mengikut Seksyen 23H akta sama.
“Petak strata terbabit akan dirampas dan dikembalikan kepada milik Pihak Berkuasa Negeri,” ujarnya.
Justeru, Faizal memohon semua pemilik petak strata di negeri ini segera melangsaikan tunggakan masing-masing bagi mengelak tindakan perundangan diambil.
“Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang atau mana-mana Pejabat Daerah dan Tanah yang berkaitan,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!