SIS Forum: Amanah cadang MAIS fail semakan kehakiman keputusan Mahkamah Persekutuan

Muhammad Faiz
Muhammad Faiz
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) mencadangkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) membuat permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan rayuan Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia) membatalkan fatwa yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, semakan perlu dibuat bagi memastikan isu penyelewengan akidah seperti yang pernah berlaku ke atas Al Arqam dan Global Ikhwan Sdn Bhd (GISBH) tidak berulang.

"Amanah melihat bahawa kes ini telah diputuskan secara majoriti sama ada di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dan dengan itu wajar serta mempunyai merit untuk disemak semula.

"Amanah turut mencadangkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dapat menubuhkan jawatankuasa bersama yang turut disertai oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta pihak berkuasa agama bagi mengkaji kesan keputusan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, langkah berkenaan perlu berikutan keputusan tersebut dibuat oleh mahkamah tertinggi dalam negara.

Beliau berkata, Amanah juga mencadangkan supaya pindaan dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan agar kuasa pihak berkuasa agama Islam juga terpakai ke atas pertubuhan sama ada persatuan atau syarikat.

"Tindakan ini penting supaya kedudukan agama Islam diperkasakan selaras dengan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan pada Khamis lalu," ujar beliau.

Mahkamah Persekutuan pada Khamis membenarkan rayuan SIS Forum dalam pertikaian berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar yang dikeluarkan dan diwartakan 11 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan penting yang menjadi nas undang-undang, memutuskan perkataan 'orang-orang yang menganut agama Islam' yang diguna pakai di dalam fatwa itu hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar dan bukan orang-orang buatan seperti sebuah syarikat.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan menyatakan mana-mana individu yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa itu, adalah kekal terikat dengan fatwa berkenaan.

Panel empat hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat melalui penghakiman majoriti 3-1 membenarkan rayuan akhir SIS Forum dan dua yang lain untuk mencabar keabsahan fatwa berkenaan.

Turut bersidang, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan, dan Datuk Abu Bakar Jais.

Sebelum ini, rayuan didengar oleh lima hakim, termasuk Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang sudah bersara (sebelum keputusan dibuat), bagaimanapun Seksyen 78 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 menyatakan ia boleh diputuskan oleh empat hakim.

Fatwa yang diwartakan oleh kerajaan negeri Selangor pada 31 Julai 2014, mengisytiharkan bahawa SIS Forum, mana-mana individu, dan kumpulan yang mengamalkan fahaman menyeleweng liberalisme dan pluralisme, menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fatwa itu juga menyatakan mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural terhadap Islam hendaklah diharamkan dan dirampas serta mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menapis laman web sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum syarak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!