Susah nak senyum bila semua orang stres

CUBA kita perhatikan wajah-wajah orang di sekeliling sama ada di jalan raya, di kaunter bank, dalam lif pejabat atau dalam LRT pagi-pagi.
Berapa ramai yang senyum? Yang tak bermasam muka pun, itu pun kira nasib baik.
Merak Jalanan perhatikan kita makin lama makin jauh dari satu benda asas dalam hidup bermasyarakat iaitu empati.
Kemampuan untuk faham perasaan orang lain. Kemampuan untuk sabar dengan kelemahan orang lain.
Dan yang paling penting, kemampuan untuk senyum walau hati sendiri berserabut.
Tapi salah siapa sebenarnya? Masyarakat kita jadi makin garang sebab hidup makin perit.
Harga barang naik, gaji tak cukup, tekanan kerja, tekanan keluarga dan tekanan sosial media. Orang dah letih senyum sebab rasa tak ada apa nak digembirakan.
Bila semua orang hidup dalam tekanan maka semua orang akan nampak macam musuh. Salah potong queue, kena maki. Lambat sikit dekat kaunter, kena tengking. Salah bagi pendapat di media sosial, terus kena ‘hentam jemaah keyboard warriors’.
Kerajaan boleh buat dasar, boleh bagi bantuan, boleh turun subsidi tapi kalau nilai dalam masyarakat terus menurun, kita akan jadi bangsa yang berjaya atas kertas, tapi kosong jiwa.
Empati tak perlukan bajet. Cukup dengan hormat orang lain, minta maaf bila salah dan senyum walaupun kita penat. Mungkin senyuman kita hari ini, jadi ubat untuk orang yang hampir ‘tewas’ dalam hidupnya.
Negara ini tak kekurangan orang bijak. Tapi mungkin, kita kekurangan orang yang cukup peduli.
Lagipun dalam Islam, senyum itu dianggap sedekah dan boleh kumpul pahala dengan senang tanpa keluarkan modal.
Jadi senyum-senyumlah terutamanya di awal pagi kerana minda kita akan ceria dan orang lain juga akan gembira.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!