Nyawa manusia terlalu murah di jalan raya

Kemalangan tragis meragut nyawa 15 pelajar UPSI di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik baru-baru ini.
Kemalangan tragis meragut nyawa 15 pelajar UPSI di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik baru-baru ini.
A
A
A

SETIAP hari, lebih 14 nyawa melayang di jalan raya Malaysia. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan lebih 5,300 kematian direkodkan dari Januari hingga Oktober 2024 manakala jumlah kemalangan melebihi 532,000 kes dalam tempoh sama.

Ia bukan lah angka kecil, namun ini adalah wajah sebenar jalan raya kita yang semakin hari semakin menjadi pembunuh senyap kepada ribuan keluarga.

Tragedi terbaharu di Gerik, Perak pada 9 Jun 2025 cukup memilukan dan meruntun seluruh rakyat Malaysia. Sebuah bas persiaran yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim terbabas dan mengorbankan 15 nyawa dan mencederakan puluhan yang lain.

Lebih malangnya, ini bukan kemalangan luar biasa, ia mengulang luka yang sama seperti tragedi bas Genting Highlands pada 2013 yang meragut 37 nyawa. Jalan raya yang sepatutnya menjadi laluan ke destinasi seolah-olah menjadi lorong maut tanpa belas kasihan.

Kenderaan berat seperti bas dan lori terus menjadi antara penyumbang utama kemalangan maut terutama apabila tidak diselenggara dengan baik atau dipandu secara cuai.

Dalam tragedi UPSI, pemandu bas dilaporkan mempunyai 18 saman lampau, majoritinya berkaitan kesalahan memandu laju. Ini menimbulkan persoalan besar terhadap tahap pemantauan syarikat pengangkutan dan penguatkuasaan ke atas pemandu berisiko tinggi.

Penunggang motosikal pula kekal sebagai kumpulan paling berisiko di jalan raya. Tahun lalu sahaja, hampir 70 peratus kematian jalan raya membabitkan motosikal. Faktor seperti tidak memakai topi keledar dengan betul, memotong secara berbahaya dan mengabaikan lampu isyarat menjadikan golongan ini antara paling terdedah.

Selain itu, faktor fizikal jalan raya juga turut memainkan peranan penting. Di laluan seperti Jalan Raya Timur-Barat (Gerik–Jeli), keadaan jalan yang berselekoh tajam, pencahayaan tidak mencukupi dan cerun curam menambah risiko tinggi, terutama bagi kenderaan besar yang hilang kawalan ketika cuaca buruk.

Artikel Berkaitan:

Di sesetengah kawasan pula, jalan berlubang, rosak atau tiada papan tanda amaran menjadi punca utama kemalangan, lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Lebih membimbangkan, apabila jalan raya kini menjadi pentas luahan amarah dan sikap pentingkan diri pemandu. Malah budaya buli jalan raya, sikap tergesa-gesa, memaki hamun serta provokasi antara pemandu juga semakin berleluasa. Dalam banyak kes, bukan kerana masalah kenderaan atau jalan tetapi emosi pemandu yang gagal dikawal menjadi punca kepada satu-satu tragedi.

Pakar keselamatan jalan raya menyifatkan situasi ini sebagai 'krisis etika pemanduan' apabila ramai pemandu tidak lagi mengutamakan keselamatan diri dan pengguna lain. Peraturan seperti pemakaian tali pinggang keledar, penggunaan isyarat dan had laju dilihat sebagai pilihan, bukan kewajipan.

Tragedi demi tragedi sepatutnya menjadi isyarat kepada kerajaan dan agensi berkaitan untuk bertindak tegas dan menyeluruh. Beberapa cadangan perlu diberi perhatian antaranya termasuklah penubuhan pangkalan data pemandu berisiko tinggi bagi tujuan pemantauan lesen dan pekerjaan.

Pemeriksaan berkala dan audit keselamatan terhadap semua kenderaan pengangkutan awam juga perlu dilaksanakan selain menaik taraf jalan raya berisiko tinggi, termasuk pencahayaan, papan tanda dan sistem keselamatan fizikal.

Tidak lupa juga kempen pendidikan etika pemanduan menyeluruh, khususnya untuk penunggang motosikal dan pemandu muda.

Namun, sekeras mana pun penguatkuasaan, ia tetap tidak akan mampu menandingi kesedaran diri sendiri setiap kali berada di atas jalan raya. Setiap individu yang mengemudi kenderaan membawa tanggungjawab bukan hanya terhadap diri sendiri tetapi juga terhadap nyawa yang berada di sekeliling.

Nyawa manusia tidak sepatutnya menjadi statistik dan jalan raya bukan medan kematian. Sebaliknya ia harus kembali menjadi laluan yang selamat membawa kita pulang bukan mengiringi kita ke liang lahad.

Zubir Sulaiman ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!