Muda tuntut pelan konkrit tangani isu kemalangan jalan raya

GEORGE TOWN - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Pulau Pinang menggesa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook tampil menjelaskan langkah konkrit dan progresif yang akan diambil dalam menangani isu kemalangan jalan raya yang semakin membimbangkan.
Ketua Penerangannya, Ir Ts Muhammad Danial Abdul Majeed berkata, tindakan sekadar mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas tanpa pelan susulan yang jelas tidak memadai dan hanya bersifat retorik.
"Sejak tahun lalu, pelbagai jawatankuasa khas telah diumumkan. Namun rakyat masih menunggu hasil siasatan, dapatan, dan tindakan susulan yang telus serta berimpak.
"Tanpa laporan yang dikongsi secara terbuka, usaha sebegini hanya tinggal retorik,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Muhammad Danial berkata, deretan kemalangan tragis yang berlaku akhir-akhir ini termasuk melibatkan seorang ibu, anggota FRU, penunggang motosikal dan terbaru sekumpulan pelajar UPSI jelas menunjukkan bahawa langkah tegas perlu segera diambil.
Beliau berkata, antara punca utama yang dikenal pasti menyumbang kepada kemalangan termasuk pemanduan melebihi had laju oleh bas dan kenderaan awam, lori yang membawa muatan berlebihan serta pemandu di bawah pengaruh alkohol.
Selain itu katanya, kekurangan papan tanda lintasan haiwan dan infrastruktur jalan yang tidak mesra keselamatan juga sebagai faktor penyumbang kepada kemalangan.
"Tindakan menyeluruh diperlukan, bukan sekadar menuding kepada sikap pemandu. Penguatkuasaan dan sistem keselamatan jalan raya perlu diperkasa.
"Muda mencadangkan beberapa langkah seperti penambahbaikan dan pelebaran jalan berisiko tinggi, pemeriksaan berkala ke atas kenderaan berat dan pemandu, pelaksanaan sistem had laju automatik serta GPS, dan penguatkuasaan undang-undang secara konsisten,” ujarnya.
Tambah beliau, Kementerian Pengangkutan merupakan antara kementerian paling penting dan tidak sepatutnya hanya menumpukan isu-isu kecil seperti bidaan nombor plat khas atau pendigitalan lesen semata-mata.
"Tugas Menteri adalah memastikan keselamatan setiap rakyat Malaysia di jalan raya. Jangan jadi pemimpin yang hanya menunggu ribut reda, akhirnya tenggelam dalam banjir yang melanda," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

