ABIM gesa gesa pengiktirafan lebih jelas terhadap kuasa fatwa

Ahmad Fahmi.
Ahmad Fahmi.
A
A
A

SHAH ALAM – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Peguam Negara supaya merangka satu mekanisme pengharmonian undang-undang yang mengiktiraf kuasa fatwa secara lebih jelas dalam konteks sistem perundangan dwi bidang di negara ini.

Gesaan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkan fatwa terhadap Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia) terpakai ke atas entiti yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pihaknya berharap agar Parlimen dapat menggubal atau meminda undang-undang berkaitan, khususnya Akta Mahkamah Syariah dan Akta Pentadbiran Agama Islam Negeri.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan autoriti fatwa tidak terus dipinggirkan serta dapat berfungsi secara lebih berkesan.

“Keputusan ini telah mencetuskan kekhuatiran mendalam dalam kalangan umat Islam di negara ini. Ia membuka ruang kepada cabaran lebih besar terhadap autoriti institusi fatwa dan institusi agama Islam negeri yang sekian lama diamanahkan untuk memelihara kemurnian akidah serta kemaslahatan ummah menurut prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Walaupun keputusan ini berasaskan hujahan perundangan sivil berkaitan status entiti korporat, namun kesan jangka panjangnya perlu dinilai secara lebih menyeluruh.

“Ia menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan mekanisme sedia ada dalam menyekat penyebaran fahaman yang tidak selari dengan semangat Maqasid Syariah dan asas-asas Perlembagaan Negara, khususnya peranan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, SIS berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan di Kuala Lumpur pada Khamis, berhubung pertikaian terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Panel empat hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan bahawa mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, serta membenarkan rayuan perayu setakat mana ia berkaitan dengan pemakaian fatwa terhadap pertubuhan dan institusi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi berkata, pihaknya turut mengambil maklum akan penghakiman berbeza oleh dua hakim yang menyuarakan kebimbangan terhadap implikasi jangka panjang keputusan tersebut ke atas kedudukan fatwa dan institusi Islam.

Tambah beliau, perkara itu menunjukkan wujud asas perundangan yang sahih untuk menilai semula keperluan reformasi undang-undang agar keharmonian antara sistem sivil dan syariah dapat dikekalkan secara adil serta menyeluruh.

“ABIM berpandangan bahawa situasi ini memperlihatkan jurang yang semakin melebar antara sistem perundangan syariah dan sivil.

“Jika tidak ditangani secara tuntas dan berhemah, ia boleh menggugat keyakinan umat Islam terhadap kemampuan negara menegakkan prinsip keadilan berasaskan keutuhan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Ia juga tidak dapat dilestarikan sekiranya institusi agama beroperasi dalam lingkungan kuasa yang kabur atau terbatas, sedangkan mereka merupakan penjaga utama hal ehwal umat Islam,” ujarnya.

Menurut beliau, segala saranan yang dikemukakan dibuat atas dasar maslahah umat Islam, dan pihaknya akan sentiasa mendukung segala usaha ke arah memperkukuh autoriti institusi agama secara adil, profesional dan berwibawa.

“Kami juga menyeru agar seluruh umat Islam terus bertenang, istiqamah dan berperanan secara aktif dalam mendukung usaha pendidikan, advokasi dasar serta pemerkasaan syariah berlandaskan ilmu, demi memastikan kedaulatan Islam terus terpelihara di bumi Malaysia tercinta ini,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!