Nahas pelajar UPSI: Lesen PSV pemandu bas digantung serta-merta -JPJ

SHAH ALAM – Lesen memandu vokasional (PSV) milik pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, digantung serta-merta.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan itu diambil mengikut Seksyen 56(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
"Sebagai langkah proaktif demi menjaga kepentingan awam dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya, penggantungan lesen tersebut akan kekal berkuat kuasa sehingga siasatan selesai dijalankan.
"JPJ turut membuka kertas siasatan terhadap pemilik syarikat pengendali kenderaan terbabit termasuk syarikat yang menerima pajakan permit operasi bas berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Aedy Fadly menegaskan komitmen JPJ untuk terus mengutamakan keselamatan jalan raya dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya.
Dalam kejadian jam 12.45 tengah malam pada 9 Jun lepas, sebuah bas persiaran yang membawa 42 pelajar UPSI dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebuah MPV yang dinaiki empat sekeluarga berhampiran Tasik Banding.
Bas berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu menuju ke kampus UPSI di Tanjong Malim selepas tamat cuti Hari Raya Aidiladha.
Nahas itu mengorbankan 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan, manakala pemandu dan penumpang MPV mengalami kecederaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

